Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA'27) dijangka berlangsung dengan skala lebih besar apabila empat pasukan aerobatik bertaraf antarabangsa dirancang menyertai pertunjukan udara yang bakal menghiasi ruang udara Langkawi pada April tahun depan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Malek Razak Sulaiman berkata, pasukan yang telah diundang ialah Black Eagles dari Korea Selatan, Al Fursan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jupiter Aerobatic Team dari Indonesia dan Russian Knights dari Rusia.
Menurut beliau, penyertaan semua pasukan berkenaan bagaimanapun masih tertakluk kepada pengesahan akhir serta perkembangan situasi geopolitik semasa.
“LIMA sentiasa menjadi platform dinamik di mana teknologi bertukar menjadi perkongsian, dan idea berubah menjadi peluang,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian mewakili Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mengulas lanjut, Abdul Malek berkata LIMA edisi ke-18 itu dijangka menghimpunkan kira-kira 110 pesawat dan aset udara serta 90 kapal bersama pelbagai aset maritim.
Beliau berkata, sambutan daripada pemain industri setakat ini amat memberangsangkan apabila sekitar 40 peratus ruang pameran telah ditempah dalam tempoh hanya dua bulan selepas pelancaran awal acara tersebut.
Katanya, LIMA'27 turut menyasarkan penyertaan sebanyak 930 syarikat pameran, meningkat kira-kira 15 peratus berbanding edisi sebelumnya.
“Kita juga menyasarkan kehadiran seramai 60,000 pelawat perdagangan dan sehingga 400,000 pengunjung awam sepanjang lima hari penganjuran,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Malek berkata LIMA'27 akan memberi penekanan kepada lapan segmen teknologi masa depan termasuk pembangunan kapal autonomi, pesawat tanpa pemandu (dron), keselamatan siber serta aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pertahanan.
Sebagai sebahagian daripada program pemanas badan menjelang penganjuran LIMA'27, Kementerian Pertahanan bersama penganjur bersama, Global Exhibition and Conferences Sdn Bhd (GEC), akan menganjurkan LIMA Run pada 25 Oktober 2026 di Dataran DBKL, Kuala Lumpur.
Menurut beliau, program itu bertujuan mendekatkan acara LIMA dengan masyarakat di samping menyemarakkan lagi momentum menjelang penganjuran utama yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 24 April 2027 di Langkawi.