Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan pembukaan sebanyak 1,040 kelas prasekolah baharu di seluruh negara bagi tempoh 2023 hingga 2027 sebagai usaha memperluaskan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak.
Menurut KPM, inisiatif itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan lebih ramai kanak-kanak berpeluang mengikuti pendidikan prasekolah yang berkualiti tanpa mengira lokasi dan latar belakang.
“Sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 10,491 kelas prasekolah KPM telah beroperasi di seluruh negara dengan enrolmen seramai 217,026 murid.
“Usaha ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan awal kanak-kanak serta memenuhi permintaan masyarakat yang semakin meningkat terhadap pendidikan prasekolah,” menurut jawapan bertulis KPM yang disiarkan di portal Parlimen hari ini.
Jawapan itu dikemukakan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, berhubung jumlah murid dan bilik darjah prasekolah KPM serta perancangan kerajaan untuk menyelaras pengurusan prasekolah di negara ini.
Menurut KPM, usaha memperluaskan pendidikan prasekolah turut disokong oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang kini mengendalikan 10,536 tadika melibatkan 204,412 kanak-kanak.
Selain itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) pula menguruskan 1,781 Tabika Perpaduan dengan enrolmen seramai 34,008 kanak-kanak.
Katanya, secara keseluruhan terdapat 22,808 kelas prasekolah di bawah KPM, KEMAS dan JPNIN yang menampung seramai 455,446 kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun.
KPM berkata, pembukaan kelas prasekolah baharu akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi projek di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun serta peluasan kelas di sekolah sedia ada berdasarkan keperluan setempat dan unjuran enrolmen.
Dalam pada itu, KPM memaklumkan sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi meneliti cadangan meletakkan semua institusi prasekolah di bawah satu kementerian.
Menurut kementerian itu, jawatankuasa berkenaan melibatkan beberapa kementerian dan agensi berkaitan bagi mengkaji cadangan tersebut secara menyeluruh.
“Kajian ini diselaraskan dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), meliputi aspek dasar, perundangan, perjawatan, kewangan, prasarana, kurikulum serta pengoperasian sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” katanya.