Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

UMNO Johor Dakwa PH Ketandusan Isu - Norshida

NORSHIDA
Kredit: Facebook Norshida Ibrahim

UMNO Johor Dakwa PH Ketandusan Isu - Norshida

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Pakatan Harapan (PH) didakwa kembali menggunakan naratif hasutan, persepsi negatif dan fitnah sebagai strategi untuk mempengaruhi sokongan rakyat.

Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim berkata, pendekatan itu digunakan apabila pihak berkenaan didakwa sudah ketandusan isu serta gagal mengemukakan fakta yang memihak kepada mereka.

Menurut beliau, fitnah dijadikan senjata politik manakala kebencian digunakan sebagai modal bagi meraih sokongan pengundi.

“Maka fitnah dijadikan senjata, manakala kebencian dijadikan modal politik. Hakikatnya, rakyat Johor hari ini jauh lebih matang dalam membuat penilaian.

“Mereka bukan lagi mudah dipengaruhi dengan dakwaan yang sengaja direka atau diputarbelitkan semata-mata untuk menimbulkan kemarahan terhadap kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Norshida berkata, sepanjang pentadbiran Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memacu pembangunan negeri.

Katanya, peningkatan pelaburan, pewujudan peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur, bantuan kepada rakyat dan pelaksanaan pelan pembangunan jangka panjang merupakan antara pencapaian yang wajar dinilai oleh rakyat.

“Inilah yang sepatutnya menjadi ukuran rakyat iaitu hasil kerja, bukannya cerita yang direka. Sebaliknya, pembangkang dilihat lebih gemar mencipta persepsi negatif berbanding menawarkan penyelesaian yang realistik,” ujarnya.

Beliau berkata, setiap kejayaan kerajaan negeri cuba diperkecilkan, manakala setiap usaha dipolitikkan dan kelemahan dijadikan bahan untuk menghasut emosi rakyat.

Menurutnya, budaya politik sedemikian bukan sahaja tidak sihat, malah boleh menjejaskan kepentingan negeri.

“Johor memerlukan kestabilan politik untuk terus menarik pelaburan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan,” katanya.

Dalam pada itu, Norshida berkata, perbezaan pandangan dalam sistem demokrasi perlu dihormati, namun ia seharusnya berasaskan fakta, dasar dan idea, bukannya fitnah atau serangan peribadi.

“Rakyat Johor berhak mendapat kempen yang matang, berintegriti dan berfakta. Mereka mahu mendengar apakah perancangan untuk masa depan negeri, bukannya menyaksikan pertandingan siapa yang paling pandai mencipta persepsi,” katanya.

Tambah beliau, rakyat mempunyai kuasa menentukan kepimpinan yang benar-benar bekerja demi kepentingan negeri.

“Johor memerlukan politik yang membina, bukan politik yang membakar kebencian kerana masa depan Bangsa Johor tidak boleh dipertaruhkan dengan fitnah dan permainan persepsi,” katanya.