Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menegaskan dakwaan kononnya kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti awam (UA) menjejaskan peluang pelajar tempatan melanjutkan pengajian adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan dasar sebenar pendidikan tinggi negara.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, sebagai sebuah universiti awam di bawah rangkaian Malaysian Technical University Network (MTUN), UniMAP sentiasa mengutamakan akses pendidikan kepada rakyat Malaysia.
Menurut beliau, agenda pengantarabangsaan bukan dasar baharu, sebaliknya merupakan Teras Strategik Kelima Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN) yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.
“Dasar ini dibangunkan melalui kajian menyeluruh dengan mengambil kira amalan terbaik negara maju serta penanda aras daripada UNESCO, OECD dan Bank Dunia,” katanya menerusi satu hantaran video malam tadi.
Zaliman berkata, pelajar antarabangsa tidak mengambil tempat pelajar tempatan kerana proses kemasukan mereka dilaksanakan melalui mekanisme berasingan yang tertakluk kepada syarat kemasukan yang ketat.
Jelas beliau, setiap permohonan perlu mendapat kelulusan Senat Universiti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta menjalani saringan oleh Education Malaysia Global Services (EMGS).
“Melalui mekanisme ini, setiap permohonan pelajar antarabangsa menjalani tapisan akademik, imigresen dan dokumentasi sebelum dibenarkan mengikuti pengajian di Malaysia.
“Secara keseluruhannya, pelajar antarabangsa di universiti awam hanya sekitar 10 peratus atau kurang daripada jumlah keseluruhan enrolmen. Ini membuktikan majoriti besar tempat di universiti awam terus diperuntukkan kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.
Mengulas kedudukan di UniMAP, beliau berkata universiti itu kini mempunyai 15,796 pelajar, namun hanya 631 daripadanya merupakan pelajar antarabangsa, iaitu sekitar empat peratus daripada keseluruhan enrolmen.
Menurutnya, bagi peringkat prasiswazah pula, hanya 392 daripada 13,727 pelajar merupakan pelajar antarabangsa atau kira-kira 2.8 peratus.
“Angka ini jelas menunjukkan bahawa majoriti besar tempat pengajian di UniMAP terus diisi oleh pelajar tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Zaliman berkata Malaysia menyasarkan kehadiran 250,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2030 selaras aspirasi negara untuk muncul sebagai hab pendidikan tinggi yang diyakini di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya menilai isu berkenaan berdasarkan fakta dan dasar yang telah ditetapkan, bukannya persepsi yang boleh menimbulkan salah faham.
“Pengantarabangsaan bukan bermaksud membuka ruang sehingga menafikan hak rakyat Malaysia.
“UniMAP akan terus komited memastikan akses pendidikan tinggi kepada rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan, di samping memperkukuh agenda pengantarabangsaan demi manfaat universiti, negara dan generasi masa hadapan,” katanya.