Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Penduduk di Cybersouth sekali lagi meluahkan kebimbangan selepas tular satu video memaparkan paku bertaburan di laluan utama menghala ke Cyberjaya, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai keselamatan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Menerusi satu hantaran di Threads, pengguna dikenali sebagai @umaru.my berkata kejadian itu bukan berlaku buat kali pertama, malah disifatkannya sebagai kali ketiga insiden seumpama itu berlaku.
“Ancaman khianat semakin terasa di kawasan Cybersouth.
“Pagi ini dikejutkan lagi dengan insiden taburan paku di simpang utama menghala Cyberjaya. Disebabkan jalan akses hanya satu untuk lebih 10,000 penduduk, kini penduduk tiada pilihan lain selain bertegang sesama sendiri.
“Siapa yang untung? @lbsbinagroup juga. Atas sebab ini saya gesa tindakan segera daripada Yang Berhormat @aimanathirah, @pkrpsepang dan @mpsepang_official untuk membuka lebih banyak laluan akses ke jalan utama seperti ELITE, LDP, Cyberjaya, Putrajaya, Dengkil dan sebagainya,” ujarnya.
Dalam hantaran sama, beliau turut menulis ringkas “kali ketiga” bagi menggambarkan kejadian tersebut berulang.
Video yang dikongsikan memaparkan segenggam paku bertaburan di bawah sebuah jejambat berhampiran garisan belang merah di atas jalan.
Rakaman itu turut menunjukkan seorang penunggang motosikal berhenti bagi mengutip paku-paku yang berselerakan demi mengelakkan pengguna jalan raya lain menjadi mangsa.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna Threads memuji tindakan lelaki tersebut yang disifatkan sanggup berkorban demi keselamatan orang ramai.
Seorang pengguna, @nurulnadiaothmarani berkata, tindakan individu itu wajar dihargai.
“Buat abang yang kutip paku, semoga Allah mengurniakan kebahagiaan dunia dan akhirat. Asbab memudahkan urusan orang lain, semoga Allah permudahkan urusan abang menuju syurga, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, @snharissa turut menzahirkan penghargaan kepada individu berkenaan.
“Terima kasih kepada yang mengutip paku. Jalan untuk buat pusingan U itu bukan hari-hari sesak. Kami warga Cybersouth hanya menumpang lalu. Terima kasih juga kepada warga Dengkil kerana berkongsi laluan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, @ilyyaszn mencadangkan agar pihak berkuasa mengenal pasti dalang di sebalik kejadian tersebut.
“Cuba biarkan seorang langgar paku sampai tayar pancit. Lepas itu tengok siapa yang datang bantu dan bawa ke bengkel mana,” katanya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti individu tidak bertanggungjawab yang didakwa sengaja menabur paku di laluan berkenaan, selain mencari penyelesaian terhadap isu akses keluar masuk yang sering dibangkitkan penduduk.