Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sasar Hidup Hingga 160 Tahun, Bryan Johnson Disahkan Hidap Autoimmune Gastritis

BRYAN JOHNSON
Bryan Johnson. Kredit: AFP

Sasar Hidup Hingga 160 Tahun, Bryan Johnson Disahkan Hidap Autoimmune Gastritis

Usahawan teknologi dan biohacker terkenal, Bryan Johnson mendedahkan beliau disahkan menghidap penyakit autoimun yang menyebabkan sistem imun menyerang lapisan perutnya sendiri, meskipun selama bertahun-tahun menjalani gaya hidup yang dianggap antara paling sihat di dunia, lapor Fox News.

Johnson, 48, yang terkenal dengan misi melambatkan proses penuaan dan menyasarkan untuk hidup sehingga berusia 160 tahun, berkata beliau disahkan menghidap Autoimmune Gastritis (AIG), iaitu penyakit kronik yang menyebabkan sistem imun menyerang sel penghasil asid dalam perut.

Menerusi satu hantaran di Instagram, beliau berkata penyakit itu dipercayai menjejaskan antara dua hingga lima peratus populasi dunia.

“Perut saya sedang memakan dirinya sendiri.

“Saya akan cuba mencari penyelesaiannya dan akan berkongsi perkembangan itu,” katanya.

Menurut Johnson, penyakit tersebut berkemungkinan mula berkembang sejak bertahun-tahun lalu ketika beliau mengamalkan gaya hidup kurang sihat.

Beliau mengakui semasa kecil sering mengambil bijirin bergula, minuman bergas dan makanan segera sebelum kesibukan membina perniagaan menyebabkan berat badannya meningkat hampir 18 kilogram.

“Dalam tempoh beberapa tahun, saya mengalami kemurungan kronik.

“Pada suatu ketika dalam tempoh itu, tubuh saya mula mengalami proses autoimun yang menjejaskan kelenjar tiroid dan lapisan perut,” ujarnya.

Johnson berkata, penyakit Autoimmune Gastritis sukar dikesan pada peringkat awal kerana simptomnya sering muncul selepas kerosakan pada lapisan perut berlaku.

Katanya, penyakit itu boleh menyebabkan kekurangan zat besi, vitamin B12, anemia serta meningkatkan risiko kanser perut.

Beliau turut mendedahkan paras ferritin atau protein penyimpan zat besi dalam badannya kekal rendah sejak 11 tahun lalu walaupun sudah mencuba pelbagai jenis makanan dan suplemen.

“Kami cuba meningkatkan paras zat besi melalui pemakanan dan suplemen, namun semuanya gagal.

“Saya mengambil pelbagai jenis suplemen zat besi dan mencuba pelbagai kaedah pengambilan, tetapi badan saya langsung tidak menyerapnya,” katanya.

Bagi mengenal pasti punca sebenar, Johnson menjalani kolonoskopi, endoskopi serta lima biopsi pada bahagian perut.

Hasil pemeriksaan mengesahkan beliau mengalami tanda-tanda awal Autoimmune Gastritis dengan kerosakan pada lapisan penghasil asid perut.

Johnson sebelum ini terkenal kerana membelanjakan berjuta-juta dolar setiap tahun untuk menjalani pelbagai rawatan, ujian biologi dan teknologi anti-penuaan bagi memastikan organ badannya kekal setanding individu berusia 18 tahun.

Pada Januari lalu, beliau turut mengumumkan sasaran untuk mencapai "keabadian" menjelang tahun 2039 menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI), teknologi bioperubatan serta penyelidikan berkaitan jangka hayat manusia.

Bagaimanapun, beliau mengakui sehingga kini masih belum wujud penawar khusus bagi penyakit Autoimmune Gastritis.

“Dalam era AI, multiomik serta teknologi DNA moden, tiada penyakit yang sepatutnya dianggap mustahil untuk dirawat hanya kerana belum ada yang mencubanya menggunakan teknologi hari ini,” katanya.

Mengakhiri perkongsiannya, Johnson menggesa orang ramai supaya memberi keutamaan kepada penjagaan kesihatan.

“Jagalah diri sendiri, jagalah orang lain, jagalah planet ini dan haiwan-haiwan di sekeliling kita. Kehidupan adalah hadiah paling berharga yang kita miliki,” katanya.