Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Microsoft mengumumkan pemberhentian seramai 4,800 pekerja atau kira-kira 2.1 peratus daripada keseluruhan tenaga kerjanya sebagai sebahagian daripada usaha syarikat mengurangkan kos operasi dalam era kecerdasan buatan (AI), lapor CNBC.
Menerusi langkah penstrukturan semula itu, bahagian Xbox menjadi unit paling terjejas apabila kira-kira 3,200 kakitangannya akan diberhentikan secara berperingkat sehingga tahun fiskal 2027.
Ketua Pegawai Sumber Manusia Microsoft, Amy Coleman berkata, perubahan pesat dalam pembangunan dan penggunaan teknologi menuntut syarikat menyesuaikan struktur organisasinya dengan keperluan semasa.
“Cara teknologi dibangunkan, digunakan dan dimanfaatkan kini berubah lebih pantas berbanding pada bila-bila masa sepanjang saya berkhidmat di sini,” katanya dalam mesej kepada kakitangan.
Menurut Coleman, daripada 3,200 jawatan di Xbox yang akan dikurangkan, seramai 1,600 pekerja diberhentikan serta-merta manakala baki selebihnya akan meninggalkan syarikat secara berperingkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Xbox, Asha Sharma berkata, proses penstrukturan semula yang mengambil masa sehingga setahun itu sememangnya memberi cabaran kepada kakitangan yang terlibat.
“Saya mengakui penstrukturan semula selama setahun ini akan mewujudkan cabaran tambahan. Malangnya, semua perubahan yang diperlukan tidak dapat dilaksanakan dalam satu hari,” ujarnya.
Menurut laporan, pengurangan tersebut melibatkan kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja Xbox.
Dalam masa sama, Microsoft memaklumkan empat studio permainan di bawah syarikat itu akan dipisahkan daripada kumpulan Microsoft sebagai sebahagian daripada strategi penstrukturan semula.
Studio Compulsion Games dan Double Fine Productions akan kembali beroperasi sebagai syarikat bebas, manakala Ninja Theory dan Undead Labs dijangka berada di bawah pemilikan baharu.
Selain itu, studio permainan Arkane Studios yang berpangkalan di Perancis turut dilaporkan sedang menilai beberapa pilihan strategik bersama majlis pekerjanya.
Microsoft turut memaklumkan bahawa unit komersial yang memberi tumpuan kepada jualan kepada pelanggan akan mengalami pengurangan tenaga kerja.
Syarikat teknologi itu sebelum ini turut memperkenalkan program persaraan sukarela sekali sahaja pada April lalu yang disasarkan kepada pekerja di Amerika Syarikat, dengan lebih satu pertiga daripada mereka yang layak dilaporkan menerima tawaran tersebut.
Menurut Coleman, walaupun AI mengubah cara kerja dilakukan dan membolehkan sebahagian tugasan diautomasi, teknologi itu bukanlah faktor utama yang menggantikan pekerja yang diberhentikan.
“AI sememangnya mengubah cara kita bekerja. Sebahagian tugasan harian kini boleh diautomasi dan ini bermakna kita semua perlu terus belajar, membina kemahiran baharu serta menyesuaikan diri dengan perubahan cara kerja,” katanya.
Setakat tahun ini, saham Microsoft dilaporkan susut kira-kira 19 peratus apabila pelabur bimbang perkembangan teknologi AI generatif bakal memberi kesan kepada perniagaan perisian tradisional syarikat itu, meskipun Microsoft terus mencatat pertumbuhan dalam segmen perkhidmatan awan dan LinkedIn.