Polis Korea Selatan dilapor bakal merancang untuk menjalankan semakan menyeluruh terhadap kira-kira 310,000 kes orang hilang yang telah ditutup sepanjang tiga tahun lalu susulan kontroversi membabitkan satu kes orang hilang di pulau peranginan Jeju, Korea Selatan, Lapor Agensi Berita Yonhap.
Agensi Polis Kebangsaan (NPA) Korea Selatan kini sedang menyediakan beberapa langkah bagi merombak sistem siasatan kes orang hilang, dengan proses semakan itu dijadualkan selesai menjelang November, menurut pegawai.
Kes Orang Hilang
Agensi itu akan mengenal pasti kes yang dianggap mempunyai risiko tinggi ditutup secara tidak wajar serta menyemak semula sama ada individu yang dilaporkan hilang berada dalam keadaan selamat dan sama ada kes berkenaan telah dikendalikan dengan sewajarnya.
Jika semakan itu menemukan kes yang disyaki telah dikendalikan secara tidak betul atau tidak mencukupi, NPA akan segera membuka semula siasatan dan melaporkan hasil penemuan kepada pihak berkuasa wilayah berkaitan.
Agensi polis di peringkat wilayah dan metropolitan juga akan menyemak setiap minggu kes yang ditutup oleh balai polis di bawah bidang kuasa masing-masing serta mengarahkan siasatan semula jika perlu.
Langkah itu diambil selepas seorang pegawai polis didapati telah menutup satu kes orang hilang pada Mei tanpa mengesahkan keselamatan wanita berkenaan.
Mayat wanita itu ditemukan pada Isnin selepas polis melancarkan operasi pencarian intensif sejak minggu lalu.
