Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

4 Bau Di Rumah Anda Yang Suka 'Memanggil' Ular Ketika Hujan

ular
Kredit: Bernama

Bayangkan tengah sibuk mengemas halaman atau dalam rumah, tiba-tiba ternampak sesuatu bergerak di celah pasu, almari atau kasut.

Meremang bulu roma dibuatnya.

Lebih-lebih lagi apabila cuaca sekarang yang asyik hujan, menghampiri musim tengkujuh, haiwan reptilia ini mungkin mencari kawasan yang lebih sesuai untuk berlindung.

Apa yang mungkin ramai tidak sedar, beberapa perkara yang terdapat di sekitar rumah sebenarnya boleh mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk ular datang mencari makanan atau tempat berlindung.

Jadi, berikut perkara dan bau di sekitar rumah yang berpotensi menarik kehadiran ular khususnya ketika musim hujan.

4 Bau Yang Ular 'Suka' Di Rumah

1. Bau najis dan air kencing tikus

Kalau ada tikus berkeliaran di kawasan rumah, kehadirannya mungkin turut menarik perhatian ular.

Ini kerana haiwan pengerat seperti tikus merupakan antara sumber makanan ular. Bau air kencing dan najis yang ditinggalkan boleh menjadi jejak untuk ular mencari mangsanya.

Ketika musim hujan pula, lubang tikus yang dimasuki air boleh menyebabkan haiwan itu berpindah ke kawasan kebun atau rumah.

Apabila ada sumber makanan, ular juga berkemungkinan menjejaki mangsanya hingga ke kawasan berkenaan.

2. Bau najis dan sarang burung

Nampak burung membuat sarang di pokok atau bawah cucur atap rumah mungkin sudah menjadi perkara biasa.

Namun, aktiviti burung bersarang turut menghasilkan jejak bau yang boleh menarik perhatian ular. Sesetengah spesies ular memburu burung dan memakan telurnya.

Bagi beberapa spesies burung, musim pembiakan juga boleh sama dengan musim monsun. Kehadiran burung dan telur dalam sarang boleh menjadi tarikan kepada ular yang sedang mencari makanan.

3. Bau katak dan ikan

Bila hujan turun, bunyi katak bersahut-sahutan memang tidak asing lagi, terutama jika ada kolam atau kawasan air bertakung berhampiran rumah.

Lopak air, longkang tersumbat dan kawasan lembap menyediakan persekitaran yang sesuai untuk katak. Aktiviti serangga di sekitar air bertakung juga boleh menarik reptilia ini.

Katak dan ikan kecil pula merupakan sumber makanan bagi pelbagai spesies ular.

Jadi, kehadiran haiwan tersebut serta jejak baunya boleh menarik ular ke kawasan halaman yang lembap dan digenangi air.

4. Feromon yang ditinggalkan ular lain

Bukan bau mangsa sahaja, jejak kimia daripada ular lain juga boleh menjadi tarikan.

Ular menggunakan feromon untuk mencari pasangan serta mengesan kehadiran ular lain di sekitarnya.

Apabila seekor ular melalui halaman rumah, haiwan itu mungkin meninggalkan jejak kimia yang boleh dikesan oleh ular lain.

Keadaan ini khususnya boleh berlaku apabila musim hujan bertepatan dengan musim mengawan bagi spesies tertentu.

Intipati
  • Bau najis dan air kencing tikus boleh menjadi jejak ular mencari mangsa.
  • Sarang burung, telur dan najisnya berpotensi menarik ular yang memburu burung.
  • Katak, ikan kecil dan feromon ular lain turut boleh menarik kehadiran ular.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan