Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

462 Kontena Disyaki Bawa Buangan Terjadual Dikesan Di Port Klang

KONTENA
Kredit: Facebook NRES

462 Kontena Disyaki Bawa Buangan Terjadual Dikesan Di Port Klang

Sebanyak 462 daripada 777 kontena yang diperiksa menerusi 54 operasi pemeriksaan di Unit Pelabuhan Port Klang dikenal pasti mengandungi buangan terjadual setakat ini.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 133 kontena telah dihantar pulang ke negara asal manakala tindakan penguatkuasaan terhadap baki kontena sedang diteruskan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Menurut kementerian itu, bagi Fasa 1 operasi, sebanyak 148 kontena telah diperiksa dan 139 kontena berjaya dikeluarkan dari Malaysia.

Katanya, susulan perkembangan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Task Force E-Waste bersetuju supaya tindakan penggantungan lesen dikenakan terhadap syarikat yang gagal mematuhi arahan pengeluaran kontena dalam tempoh ditetapkan.

“Sementara itu, pemeriksaan Fasa 2 membabitkan 615 kontena sedang dipergiatkan melalui kerjasama pelbagai agensi bagi mempercepatkan tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut NRES, pelaksanaan operasi secara berfasa itu menunjukkan perkembangan positif dan membuktikan keberkesanan tindakan penguatkuasaan bersepadu.

Katanya, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan setiap tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, berkesan dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Pengerusi Pasukan Petugas Khas Penguatkuasaan NRES, Syed Ibrahim Syed Noh mengadakan lawatan kerja ke Unit Pelabuhan Port Klang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam.

Lawatan itu bertujuan meninjau pelaksanaan operasi penguatkuasaan terhadap kemasukan buangan elektronik (e-waste) dan buangan terjadual ke negara ini.

Menurut kenyataan itu, lawatan berkenaan turut melibatkan sesi taklimat mengenai kesiapsiagaan Unit Pelabuhan Port Klang yang baharu diwujudkan termasuk struktur operasi, proses pemeriksaan kontena serta tindakan penguatkuasaan yang sedang dilaksanakan.

Katanya, sebagai sebahagian daripada lawatan kerja tersebut, Timbalan Menteri turut menyaksikan pemeriksaan ke atas dua kontena yang disyaki mengandungi e-waste bagi menilai keberkesanan operasi di lapangan.

“Kejayaan membanteras penyeludupan e-waste bergantung kepada penguatkuasaan tegas, tindakan susulan pantas serta kerjasama strategik antara JAS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Westports Malaysia serta agensi berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Tambah NRES, kementerian akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan melalui kerjasama rentas agensi, penambahbaikan prosedur operasi dan peningkatan keupayaan di lapangan bagi memastikan Malaysia tidak menjadi destinasi pelupusan buangan haram.