Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

5 Pemain Legenda Yang Tidak Pernah Beraksi di Kejohanan Piala Dunia FIFA
Dalam dunia bola sepak, kejohanan Piala Dunia FIFA sering dianggap sebagai pentas tertinggi yang menjadi impian hampir setiap pemain profesional.
Ia bukan sekadar pertandingan, tetapi simbol pencapaian terbesar dalam karier seseorang pemain bola sepak.
Namun begitu, sejarah telah menunjukkan bahawa tidak semua pemain hebat berpeluang merasai detik beraksi di pentas paling berprestij ini, walaupun mereka diiktiraf sebagai legenda di peringkat kelab dan antarabangsa.
Menariknya, terdapat beberapa nama besar yang telah mencipta impak luar biasa dalam dunia bola sepak, tetapi tidak pernah sekalipun menjejakkan kaki ke Piala Dunia FIFA.
Hari ini, SK akan mengupas lima pemain legenda yang dianggap antara yang terbaik dalam sejarah bola sepak, tetapi tidak pernah beraksi di kejohanan Piala Dunia FIFA.
Alfredo Di Stefano (Argentina, Colombia, dan Sepanyol)
Siapa sangka pemain sehebat Alfredo Di Stefano yang pernah menjadi satu-satunya pemain memenangi Super Ballon d'OR dan dua anugerah Ballon d'OR langsung tidak pernah beraksi di Piala Dunia.
Apatah lagi, dia juga mewakili negara yang dianggap sebagai kuasa besar bola sepak dunia seperti Argentina, Colombia dan Sepanyol.
Jika dilihat pada prestasi, sudah tentu pemain sekelas Stefano layak bermain di pentas prestij itu, namun faktor 'nasib' yang tidak menyebelahinya membuatkannya berputih mata.
Umumnyam, Legenda Real Madrid itu gagal beraksi di Piala Dunia 1950 dan 1954 apabila Argentina menarik diri daripada pusingan kelayakan.
Beliau kemudian menukar kewarganegaraan ke Colombia, sebelum akhirnya beralih lagi ke Sepanyol.

Namun, ketika akhirnya berjaya membantu Sepanyol layak ke Piala Dunia 1962, Di Stefano mengalami kecederaan serius sehingga dia terlepas bermain pada edisi berkenaan.
Perkara itu menyebabkan beliau terlepas peluang beraksi di Piala Dunia sehingga bersara sebagai pemain bola sepak.
Di Stefano meninggal dunia pada 7 Julai 2014 di Madrid, Sepanyol, pada usia 88 tahun.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital selepas mengalami serangan jantung beberapa hari sebelum itu.
George Best (Ireland Utara)
Tahukah anda, George Best yang cemerlang bersama kelab Manchester United ternyata tidak pernah beraksi di Piala Dunia sepanjang karier profesionalnya.
Best merupakan pemain pasukan kebangsaan Ireland Utara. Namun, negara tersebut tidak begitu kuat berbanding negara lain, menyebabkan beliau tidak berpeluang untuk tampil di pentas tertinggi seperti Piala Dunia.

Ireland Utara sebenarnya layak ke Piala Dunia 1982 dan 1986, tetapi ketika itu Best tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan kerana sudah terlalu berusia serta sering mengalami masalah kecederaan.
Eric Cantona (Perancis)
Eric Cantona, legenda Manchester United, juga tidak pernah beraksi di Piala Dunia sepanjang kariernya.
Cantona sebenarnya berpeluang untuk tampil di dua edisi Piala Dunia. Namun, beliau gagal membantu pasukan kebangsaan Perancis melayakkan diri ke Piala Dunia 1994 ketika berperanan sebagai kapten pasukan.
Cantona merupakan pemain yang sangat berpengaruh di Old Trafford dan sering menjadi tonggak utama kejayaan pasukan.

Keputusan beliau untuk bersara pada 18 Mei 1997 pada usia 30 tahun ketika berada di kemuncak kariernya telah mengejutkan ramai pihak dalam dunia bola sepak.
Pemain yang terkenal dengan gaya menaikkan kolar baju itu sepatutnya juga berpeluang beraksi di Piala Dunia 1998. Namun, kecederaan telah menghalangnya sekali lagi daripada menyertai kejohanan tersebut.
Ryan Giggs (Wales)
Masih dari Manchester United, Ryan Giggs merupakan salah satu legenda bola sepak yang tidak pernah merasai pengalaman beraksi di Piala Dunia.
Giggs yang mewakili pasukan kebangsaan Wales sebenarnya hampir beraksi di Piala Dunia 1994, namun mereka tewas dalam perlawanan penentuan dalam pusingan kelayakan.

Wales tidak pernah layak ke Piala Dunia sepanjang karier aktif Giggs.
Namun pada Piala Dunia 2022, akhirnya Wales berjaya melayakkan diri ke kejohanan tersebut buat kali pertama dalam tempoh yang lama.
Geoge Weah (Liberia)
Dianggap sebagai salah satu pemain terbaik Afrika sepanjang masa, George Weah ternyata tidak pernah beraksi di Piala Dunia.
Negara asal Weah, Liberia, tidak pernah layak ke Piala Dunia.
Status Weah sebagai pemain bintang dan pernah memenangi anugerah Ballon d'OR juga tidak mampu membawa pasukan kebangsaan Liberia ke pentas tertinggi tersebut.

Walaupun begitu, Weah cemerlang bersama pelbagai kelab di Eropah seperti AS Monaco dan Paris Saint-Germain serta memenangi Ballon d’Or ketika bersama AC Milan.
Weah masih kekal sebagai satu-satunya pemain Afrika yang pernah memenangi Ballon d’Or.
Walaupun tanpa pengalaman di pentas dunia tersebut, sumbangan dan pencapaian mereka tetap kekal dalam lipatan sejarah sebagai bukti bahawa kehebatan seseorang pemain tidak hanya diukur melalui kehadiran di Piala Dunia semata-mata.