Mematikan lampu dan mengunci pintu sebelum tidur mungkin sudah menjadi rutin harian.
Namun, pernahkah anda terfikir untuk mencabut plag beberapa peralatan elektrik yang masih bersambung dengan soket?
Selain membantu mengurangkan risiko kebakaran, tabiat mencabut plag peralatan tertentu ketika tidak digunakan juga boleh mengurangkan penggunaan elektrik secara tidak perlu.
Menurut pakar keselamatan, terdapat beberapa peralatan yang wajar dicabut selepas digunakan, khususnya sebelum tidur atau apabila ditinggalkan untuk tempoh yang lama.
Berikut antaranya:
1. Pemanas ruang
Jika menggunakan pemanas ruang pada waktu malam, pastikan peralatan itu hanya beroperasi ketika ada orang yang berjaga di dalam bilik.
Bukan sekadar mematikannya, plag pemanas ruang juga disarankan untuk dicabut apabila tidak digunakan atau apabila anda meninggalkan kawasan berkenaan untuk tempoh yang panjang.
Keadaan seperti litar pintas, lonjakan kuasa atau kerosakan mekanikal boleh menyebabkan percikan elektrik dan meningkatkan risiko kebakaran.
2. Pengecas bateri
Pengecas yang digunakan untuk bateri litium-ion, termasuk bateri basikal elektrik dan peralatan tanpa wayar, turut memerlukan perhatian.
Bateri berkenaan boleh menjadi panas ketika dicas dan berisiko terbakar jika berlaku masalah.
Justeru, elakkan meninggalkan bateri sedang dicas ketika tidur atau apabila keluar meninggalkan rumah.
Cabut pengecas sebaik sahaja bateri mencapai tahap penuh bagi mengurangkan risiko yang tidak diingini.
3. Peralatan dapur
Biasakan mencabut plag peralatan dapur kecil apabila tidak digunakan, terutama peralatan yang menghasilkan haba seperti air fryer, ketuhar pembakar roti dan mesin pembancuh kopi.
Pada masa sama, pastikan peralatan berkenaan sentiasa bersih.
Kesan minyak atau sisa makanan yang terkumpul boleh meningkatkan risiko kebakaran atau menghasilkan asap apabila peralatan digunakan.
4. Konsol permainan video
Konsol permainan video seperti Xbox dan Nintendo Switch mungkin tidak menghasilkan haba seperti pemanas atau peralatan dapur, namun ia masih menggunakan elektrik walaupun berada dalam keadaan tidak aktif.
Penggunaan elektrik secara berterusan ketika peranti tidak digunakan dikenali sebagai 'vampire power'.
Jika konsol merupakan sebahagian daripada sistem hiburan rumah yang turut melibatkan televisyen dan pembesar suara, sambungkan semuanya kepada satu soket sambungan yang mempunyai perlindungan lonjakan kuasa.
Dengan cara itu, semua peralatan boleh dimatikan dan diputuskan bekalan elektrik dengan lebih mudah.
5. Pengering rambut
Pengering rambut dan peralatan penggayaan rambut lain menghasilkan haba yang tinggi dan sebaiknya tidak dibiarkan bersambung pada soket apabila selesai digunakan.
Walaupun soket di bilik mandi biasanya mempunyai ciri keselamatan yang membantu memutuskan bekalan elektrik sekiranya berlaku masalah pada peralatan, ia tetap tidak menggantikan langkah berjaga-jaga.
Jadi, selepas mengeringkan rambut, cabut plag pengering rambut dan simpan di tempat yang sesuai.
Jangan ambil mudah
Mencabut plag peralatan elektrik yang tidak digunakan mungkin kelihatan seperti perkara kecil, tetapi ia boleh menjadi salah satu langkah mudah untuk mengurangkan risiko kebakaran di rumah.
Lebih-lebih lagi bagi peralatan yang menghasilkan haba atau menggunakan bateri, elakkan meninggalkannya beroperasi tanpa pengawasan, terutama ketika tidur atau keluar rumah.

