Kalau mendengar perkataan tasik, mungkin ramai membayangkan kawasan air yang tidak terlalu luas dan boleh dilihat hujung ke hujung.
Namun, beberapa tasik di dunia sebenarnya begitu besar sehingga keluasannya mampu menandingi saiz sesebuah negara.
Menariknya, ada tasik yang dinamakan sebagai “laut”, mempunyai air masin dan dikelilingi beberapa negara.
Ada juga tasik air tawar yang menyimpan jumlah air sangat besar serta menjadi habitat kepada pelbagai spesies unik.
Berikut lima tasik terbesar di dunia berdasarkan keluasan permukaan:
1. Laut Caspian
Jangan terpedaya dengan namanya kerana Laut Caspian sering dianggap sebagai tasik terbesar di dunia.
Walaupun dikenali sebagai laut, Laut Caspian merupakan lembangan tertutup yang tidak mempunyai aliran keluar ke lautan.
Tasik air masin ini terletak antara Eropah dan Asia serta dikongsi oleh Azerbaijan, Iran, Kazakhstan, Rusia dan Turkmenistan.
Menariknya, Laut Caspian pernah mempunyai hubungan dengan lautan dunia kira-kira 11 juta tahun lalu melalui Laut Hitam, Mediterranean dan Laut Azov.
Dengan keluasan sekitar 371,000 kilometer persegi, kedalaman maksimumnya pula mencecah 1,025 meter.

2. Tasik Superior
Selepas Laut Caspian, Tasik Superior merupakan tasik terbesar di dunia dari segi keluasan permukaan bagi kategori air tawar.
Terletak di antara Kanada dan Amerika Syarikat, tasik ini mempunyai keluasan kira-kira 82,000 kilometer persegi dan kedalaman maksimum sekitar 406 meter.
Apa yang lebih menarik, Tasik Superior dikatakan mengandungi lebih banyak air berbanding gabungan empat lagi Tasik Great Lakes.
Tasik ini terbentuk kira-kira 1.2 bilion tahun lalu hasil pergerakan geologi yang hampir menyebabkan benua Amerika Utara terbelah.

3. Tasik Victoria
Beralih ke Afrika, Tasik Victoria merupakan tasik terbesar di benua itu selain dikenali sebagai tasik tropika terbesar di dunia.
Tasik yang mempunyai keluasan sekitar 59,946 kilometer persegi ini terletak terutamanya di Tanzania dan Uganda, manakala sebahagian kecilnya berada di Kenya.
Tasik Victoria juga mempunyai lebih 3,000 pulau, termasuk pelbagai kepulauan dan terumbu.
Menariknya, sekitar 80 peratus air tasik ini datang daripada hujan secara langsung, manakala selebihnya disumbangkan oleh sungai-sungai yang mengalir masuk ke tasik.
4. Tasik Huron
Tasik Huron merupakan tasik air tawar ketiga terbesar di dunia dan yang keempat terbesar berdasarkan keluasan permukaan.
Ia dikongsi oleh Kanada dan Amerika Syarikat dengan keluasan sekitar 59,588 kilometer persegi serta kedalaman maksimum kira-kira 229 meter.
Tasik ini turut menjadi lokasi Pulau Manitoulin, yang dikenali sebagai pulau tasik air tawar terbesar di dunia.
Lebih menarik, Pulau Manitoulin sendiri mempunyai lebih 100 tasik di dalamnya.
5. Tasik Michigan
Melengkapkan senarai lima tasik terbesar ialah Tasik Michigan, yang merupakan tasik air tawar keempat terbesar di dunia berdasarkan keluasan permukaan.
Tasik ini mempunyai keluasan sekitar 58,030 kilometer persegi dan kedalaman maksimum kira-kira 281 meter.
Tasik Michigan juga unik kerana ia merupakan satu-satunya Tasik Great Lakes yang terletak sepenuhnya dalam wilayah Amerika Syarikat.
Walaupun biasanya dianggap sebagai tasik berasingan, Tasik Michigan sebenarnya bersambung dengan Tasik Huron melalui Selat Mackinac.
Tasik atau laut?
Kewujudan Laut Caspian sering membuatkan orang tertanya-tanya bagaimana sesuatu yang dinamakan “laut” boleh disenaraikan sebagai tasik.
Secara ringkasnya, tasik ialah kawasan takungan air yang dikelilingi daratan dan boleh terbentuk melalui pelbagai proses semula jadi seperti pergerakan glasier, aktiviti gunung berapi atau perubahan aliran sungai.
Tasik pula boleh terdiri daripada air tawar atau air masin, serta berbeza dari segi saiz, kedalaman dan ekosistem.
Jadi, tidak semua tasik kelihatan seperti tasik yang biasa kita bayangkan.
Ada yang begitu luas sehingga seolah-olah seperti lautan kecil, malah dikongsi oleh beberapa negara.

