China mencatatkan kes harian COVID-19 tertinggi hari ini, melibatkan kes tempatan. Ujian saringan besar-besaran telah dilakukan setelah varian Delta menyebar ke bandar-bandar besar di China.
Kerajaan China telah melakukan saringan terhadap penduduk di seluruh bandar dan mengarahkan perintah berkurung kepada jutaan penduduk di sana.
Hari ini, China mencatatkan 71 kes positif baharu, di mana ia merupakan jumlah terbanyak sejak Januari tahun ini.
China sebelumnya telah berjaya melawan wabak COVID-19 , dan membuka kembali sektor ekonomi. Rakyat di sana juga sempat merasakan ‘hidup normal’ di saat negara-negara lain masih bergelut dengan wabak yang telah membunuh lebih empat juta dari populasi dunia.
Pun begitu, wabak COVID-19 yang sebelumnya berjaya diperangi kini kembali ‘menyerang’ negara tersebut. Sejak pertengahan Julai, 500 kes domestik telah direkodkan, dipercayai ‘dibawa’ oleh penumpang pesawat dari Moscow, sebelum merebak ke wilayah Jiangsu.
Bahagian pengurusan imigrasi di China kini telah menyekat kemasukan orang asing ke negara mereka yang bukan dalam situasi kecemasan atau kurang berkepentingan. Malah krew kapal warga asing juga tak dibenarkan memasuki pelabuhan China.
Kerajaan pusat turut menghentikan perkhidmatan pengangkutan awam di kawasan penyebaran wabak.
Ujian saringan besar-besaran
Wuhan, kawasan di mana pertama kali virus COVID-19 dikesan sedang giat menjalankan ujian saringan terhadap kesemua 11 juta penduduk di sana.
Di Beijing, tiga kes positif baharu dicatatkan hari ini manakala di Nanjing, 9.2 juta penduduk disaring sebanyak tiga kali selepas tempat awam seperti taman permainan, gym dan panggung wayang ditutup.
Manakala Hunan masih tak membenarkan orang awam masuk atau keluar dari kawasan berisiko di wilayah itu. Disyaki pelancong yang tertular dari Nanjing mengunjungi pusat pelancongan di sana ketika menghadiri sebuah persembahan teater.
Sementara itu, Shanghai masih menyiasat kes varian Delta melibatkan pekerja lapangan terbang yang dikesan minggu ini.
Sumber: AFP