Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sebanyak 6,850 liter minyak disyaki petrol dirampas dalam dua kes berasingan menerusi operasi bersepadu Ops Tiris 4.0 yang dijalankan di kawasan perkampungan atas air Kampung Mesra, Semporna semalam.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna memaklumkan, rampasan itu dibuat hasil serahan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah selepas pemeriksaan dijalankan di sebuah rumah tanpa nombor di kawasan berkenaan.
Menurut KPDN, kes pertama melibatkan rampasan sebanyak 4,350 liter minyak disyaki petrol yang disimpan di dalam 174 jerikin berkapasiti 25 liter.
Turut dirampas dalam operasi itu ialah dua bot kayu berwarna kelabu, sebuah enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda (HP) serta dua enjin sangkut Yamaha 85HP.
“Bagi kes kedua pula, sebanyak 2,500 liter minyak disyaki petrol yang disimpan dalam 100 jerikin berkapasiti 25 liter turut dirampas.
“Kedua-dua kes merupakan rampasan tanpa tuan dan tiada tangkapan dibuat ketika operasi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut KPDN, nilai rampasan barang kawalan dianggarkan berjumlah RM25,482 manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan mencecah RM52,482.
Susulan itu, dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tindakan lanjut.
KPDN berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi khususnya di daerah Semporna dan kawasan perairan sekitarnya.
Dalam masa sama, KPDN memberi amaran tegas kepada mana-mana individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
Bagi individu yang disabitkan kesalahan di bawah akta berkenaan, mereka boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya jika sabit kesalahan.