Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

7 Cara Rakyat Malaysia Mengamalkan Perpaduan Tanpa Sedar Setiap Kali Melancong

Kita kerap berbicara tentang perpaduan di Malaysia. Kita meraikan kepelbagaian budaya, bahasa, makanan dan tradisi kita, terutamanya semasa Hari Merdeka dan Hari Malaysia. Namun, perpaduan bukanlah sesuatu yang hanya muncul semasa perayaan kebangsaan. Dalam banyak cara, rakyat Malaysia mengamalkannya setiap hari, selalunya tanpa berfikir panjang.

Lihatlah mana-mana terminal bas, gerabak kereta api atau kawasan rehat lebuh raya, anda akan melihat insan dari pelbagai lapisan masyarakat berkongsi ruang yang sama dan, kadangkala, saling membantu di sepanjang perjalanan. Seorang pelajar yang pulang dari universiti, seorang nenek yang melancong untuk melawat cucu-cucunya, seorang pekerja yang pulang selepas berminggu-minggu merantau, atau pasangan muda yang melakukan perjalanan pertama mereka bersama mungkin mempunyai sebab yang sangat berbeza untuk mengembara, tetapi untuk beberapa jam, perjalanan mereka bersilang.

Melancong mampu melakukan sesuatu yang kadangkala tidak boleh dilakukan oleh perbualan tentang perpaduan: ia menyatukan orang ramai dalam rentak kehidupan seharian. Berikut ialah tujuh cara seharian merentasi Malaysia yang mengingatkan kita tentang makna menjadi rakyat Malaysia.

1. Kita Membantu Orang Luar Tanpa Bertanya Siapa Mereka

Tanyakan kepada rakyat Malaysia tentang pengalaman melancong dan kebarangkalian besar mereka mempunyai cerita tentang orang yang tidak dikenali membantu mereka sepanjang perjalanan.

Ia mungkin seseorang yang mengangkat beg yang berat, menunjukkan platform yang betul kepada pengembara yang keliru, mengejutkan penumpang lain sebelum sampai ke hentian mereka, atau beralih tempat duduk supaya sebuah keluarga boleh duduk bersama.

Bagi Lieu, seorang pelajar universiti dari Sarikei, Sarawak, antara kenangan pengangkutan awam yang paling kuat diingatinya adalah mengenai interaksi kecil ini. Dalam satu perjalanan, dia teringat seorang wanita Melayu menyapa penumpang dengan mesra semasa mereka menaiki bas. Dalam perjalanan yang lain pula, Lieu dan rakan-rakannya membantu seorang pakcik tua mencari tempat hentiannya dan turun dari bas dengan selamat.

Pertemuan ini mungkin kelihatan tidak penting, tetapi ia menyerlahkan sesuatu yang sinonim tentang rakyat Malaysia: kita selalunya pantas hulurkan bantuan tanpa berfikir panjang, walaupun kita tidak mengenali orang yang kita bantu itu.

Untuk beberapa minit, perjalanan orang lain turut menjadi keprihatinan kita.

Lieu menerokai tempat-tempat menarik pada 

hujung minggu menggunakan pengangkutan awam.


2. Bas Menyatukan Pelbagai Rakyat Malaysia

Geografi Malaysia bermakna pergerakan dari satu bahagian negara ke bahagian yang lain boleh melibatkan jarak yang agak jauh. Setiap hari, rakyat Malaysia merentas sempadan negeri untuk bekerja, menuntut ilmu, bersama keluarga dan bersiar-siar. 

Sebuah bas yang bertolak dari Kuala Lumpur mungkin membawa penumpang yang menuju ke kehidupan yang berbeza sama sekali. Seorang turun di Ipoh, seorang lagi meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang, manakala yang lain kekal berada di dalam bas menuju ke Kedah. Untuk beberapa jam, orang yang mempunyai latar belakang, bahasa dan budaya yang amat berbeza duduk bersebelahan. Mereka mungkin bertutur dalam bahasa berbeza dan menuju ke destinasi yang berbeza, tetapi apabila mereka berkongsi jalan yang sama dan lalu di pemandangan yang sama, bas berkenaan menjadi mikrokosmos senyap bagi negara itu sendiri: individu unik yang berkongsi satu ruang dengan selesa.

Ia merupakan peringatan ringkas bahawa walaupun negeri dan wilayah di Malaysia mempunyai identiti mereka yang tersendiri, kita sentiasa bergerak di antaranya.

3. Kawasan Rehat Membawa Semua Orang ke Meja yang Sama

Luangkan masa pada hari yang sibuk di kawasan rehat lebuh raya di Malaysia dan anda akan mendapati ritual sosial kebangsaan kita berlangsung sepenuhnya. Keluarga, pelajar, pelancong, pemandu dan pekerja semuanya berhenti atas sebab ringkas yang sama — makanan, kopi, tandas atau sejenak untuk meregangkan badan.

Pengembara berehat di kawasan rehat lebuh raya.

(Kredit Foto: R&R Skudai)

Detik-detik perkongsian ini kerap mencetuskan tindakan kebaikan yang kecil: orang yang tidak dikenali berkongsi meja, mengesyorkan gerai kegemaran atau membantu pengembara yang tersesat mencari laluan keluar yang betul.

Pengalaman bersama inilah yang menjadikan pengembaraan sebagai cara yang ampuh untuk merasai Malaysia. Anda mungkin tidak mengenali orang di sebelah anda, tetapi ada sesuatu yang biasa dalam perjalanan yang anda kongsi bersama.

4. Makanan Memberi Kita Satu Lagi Sebab untuk Meneroka

Bagi rakyat Malaysia, makanan jarang terpisah daripada mana-mana perjalanan.

Nasi lemak yang dibungkus sebelum berlepas awal pagi, kudapan yang dibawa dari rumah, persinggahan wajib untuk menikmati makanan tempatan, dan hidangan yang dibeli di kawasan rehat lebuh raya yang entah bagaimana rasanya lebih sedap kerana dimakan separuh jalan ke destinasi lain.


Keluarga menikmati Makanan Enak di Petaling Street, Kuala Lumpur

Melancong juga memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk merasai bagaimana makanan berubah dari satu negeri ke negeri yang lain. Laksam di pantai timur, Laksa di utara, Laksa Sarawak di Kuching atau mee Tuaran di Sabah adalah lebih daripada sekadar hidangan untuk ditanda dalam senarai semak perjalanan. Ia adalah ekspresi sejarah dan identiti tempatan.

Kadangkala, memahami bahagian lain di Malaysia bermula dengan hanya duduk dan menikmati apa yang dimakan oleh penduduk di situ.

5. Pemandangan di Luar Jendela Meluaskan Pandangan Kita Tentang Malaysia

Salah satu kenikmatan pengembaraan darat adalah menyaksikan pemandangan negara yang berubah di luar jendela.

Pemandangan ufuk bandar secara beransur-ansur memberi laluan kepada ladang, bukit-bukau, kampung dan pesisir pantai. Seni bina berubah, dialek bertukar dan makanan tempatan menampilkan karakter berbeza.

Bagi rakyat Malaysia yang menghabiskan sebahagian besar hayat mereka di satu bandar atau negeri, perjalanan ini boleh menjadi peringatan berguna bahawa negara ini jauh lebih besar daripada Malaysia yang kita kenali secara peribadi.

Kita tidak perlu menjadi serupa untuk merasa terhubung. Kadangkala, memahami komuniti lain bermula dengan hanya melihat dari mana mereka berasal.

6. Teknologi Menjadikan Lebih Banyak Kawasan di Malaysia Boleh Dicapai

Perjalanan itu sendiri juga sedang berubah. Apa yang dahulunya bermula di kaunter tiket kini boleh bermula di telefon pintar, dengan pengembara dapat mencari laluan, membandingkan masa pelepasan dan menempah tempat duduk sebelum tiba di terminal.

Perjalanan sedemikian juga semakin mudah untuk dikendalikan. Platform digital seperti redBus memainkan peranan yang senyap namun praktikal dalam landskap yang berubah ini dengan menyambungkan laluan, jadual dan pengendali di satu tempat. Dengan memudahkan carian dan tempahan tiket bas secara dalam talian untuk perjalanan antarantara bandar, teknologi membantu menghapuskan kesulitan merentas sempadan negeri.

Bagi pelajar yang ingin pulang ke rumah, keluarga yang merancang perhimpunan semula, atau pengembara yang menerokai destinasi baharu, kemudahan itu boleh menjadi penentu antara hanya berfikir tentang perjalanan dengan benar-benar melakukannya.

Ia adalah anjakan kecil tetapi bermakna: apabila perjalanan menjadi lebih mudah dicapai, lebih banyak bahagian di Malaysia menjadi lebih mudah untuk diterokai. 

7. Perjalanan Pulang ke Kampung Tetap Paling Utama

Mungkin kisah perjalanan rakyat Malaysia yang paling sinonim ialah perjalanan pulang ke kampung.

Setiap musim perayaan, terminal bas penuh sesak, tiket kereta api habis terjual dengan cepat dan lebuh raya menjadi padat apabila rakyat Malaysia berpusu-pusu pulang ke kampung halaman masing-masing.

Kita melancong untuk Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Gawai, Kaamatan dan Krismas. Kita melancong untuk majlis perkahwinan, hari lahir dan perhimpunan keluarga. Kita melancong untuk pengebumian. Dan kadangkala, kita melancong hanya kerana seseorang bertanya, “Bila nak balik?”

Jaraknya mungkin jauh dan perjalanannya meletihkan, tetapi kita terus melakukannya kerana hadir secara fizikal itu tetap penting.

Dalam pengertian itu, setiap perjalanan pulang ke kampung adalah peringatan bahawa jarak hanya penting kerana ada insan yang berbaloi untuk kita rentasi jarak tersebut.

Mungkin Inilah Rupa Perpaduan

Perpaduan tidak selamanya perlu diraikan dengan bendera, ucapan atau acara gilang-gemilang. Kadangkala, ia berlaku dalam cara yang jauh lebih kecil, seorang tidak dikenali membantu mengangkat beg, penumpang berkongsi arah jalan, atau keluarga yang mengembara beratus-ratus kilometer hanya untuk duduk berhimpun di meja yang sama.

Sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia ini, mungkin cara terbaik untuk menghayati Malaysia adalah dengan merasai dan menerokai lebih banyak lagi kawasannya. Melawatlah ke negeri yang belum pernah anda terokai, cubalah hidangan tempatan, dengarkan dialek yang berbeza atau nikmatilah perjalanan pulang ke kampung.

Memandangkan platform digital memudahkan carian dan tempahan perjalanan antarantara bandar, menerokai lebih banyak bahagian di Malaysia kini semakin mudah diakses. Bagi platform seperti redBus, ini bermakna menjadi sebahagian daripada sesuatu yang melebihi transaksi tiket semata-mata, iaitu membantu rakyat Malaysia sampai ke tempat, pengalaman dan insan yang bermakna bagi mereka.

Semakin banyak kawasan di Malaysia yang kita jelajahi, semakin ramai rakyat Malaysia yang kita temui dan semakin kita memahami negara yang kita kongsi bersama ini.