Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

87 Peratus PKS Di Asia Pasifik Alami Insiden Siber Dalam Setahun - Kaspersky

Sebanyak 87 peratus responden dalam kalangan profesional teknologi maklumat (IT) dan keselamatan IT bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Asia Pasifik melaporkan mengalami sekurang-kurangnya satu insiden keselamatan siber dalam tempoh 12 bulan lalu, menurut kajian terbaharu Kaspersky.

Syarikat keselamatan siber itu memaklumkan bahawa eksploitasi kelemahan perisian dikenal pasti sebagai ancaman paling memudaratkan dengan 10 peratus, diikuti serangan perisian hasad secara besar-besaran dan akses jauh dari luar, masing-masing tujuh peratus.

Menurut Kaspersky, kesan serangan siber bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, malah turut menjejaskan operasi perniagaan serta keselamatan maklumat pelanggan dan pekerja.

Dalam kalangan PKS di Asia Pasifik yang mengalami insiden siber, sebanyak 25 peratus melaporkan kecurian data peribadi pelanggan sebagai antara kesan paling memudaratkan.

Sementara itu, 23 peratus mengalami gangguan sementara terhadap perkhidmatan pelanggan seperti laman web dan kedai dalam talian, manakala 23 peratus lagi melaporkan kecurian data peribadi pekerja.

Kajian itu turut mendapati 21 peratus syarikat mengalami kerugian kewangan, dengan peratusan sama berdepan kehilangan data yang tidak dapat dipulihkan, manakala 13 peratus mengalami kerosakan kekal terhadap aset syarikat.

Kaspersky berkata kecurian data peribadi pelanggan dikenal pasti sebagai matlamat utama penyerang siber di Asia Pasifik dengan 34 peratus, diikuti maklumat dalaman sensitif termasuk kelayakan kewangan dan dokumen perundangan (31 peratus).

Selain itu, sebanyak 27 peratus responden mengenal pasti kecurian data peribadi pekerja sebagai sasaran penyerang, manakala 23 peratus melibatkan usaha menghalang pekerja dan pelanggan daripada mengakses sumber dalam talian.

Dapatan itu menunjukkan penjenayah siber semakin menumpukan perhatian terhadap maklumat bernilai yang boleh dieksploitasi untuk memperoleh keuntungan atau digunakan bagi melancarkan serangan susulan.

Dari segi bahagian organisasi yang menjadi sasaran, kajian berkenaan menunjukkan jabatan keselamatan IT mencatatkan 52 peratus daripada serangan paling memudaratkan, diikuti jabatan IT (51 peratus).

Bahagian khidmat pelanggan pula mencatatkan 22 peratus, manakala jabatan perakaunan dan kewangan sebanyak 20 peratus.

Ketua Barisan Produk Platform Bersepadu Kaspersky, Ilya Markelov berkata insiden siber boleh memberikan kesan lebih buruk kepada PKS berbanding syarikat besar, khususnya kerana kekangan sumber yang dihadapi perniagaan berskala kecil.

“Insiden siber sering membawa kesan yang jauh lebih buruk kepada syarikat kecil dan sederhana berbanding pelanggaran keselamatan berprofil tinggi yang dialami syarikat besar.

“Dalam sesetengah keadaan, insiden berkenaan boleh mengancam kelangsungan perniagaan yang mempunyai sumber terhad,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PKS memerlukan penyelesaian keselamatan yang fleksibel dan boleh disesuaikan dengan keperluan serta perkembangan perniagaan bagi menangani ancaman siber yang semakin kompleks.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kaspersky bagi Asia Pasifik, Adrian Hia berkata ancaman siber yang semakin pelbagai menunjukkan kepentingan memperkukuh daya tahan keselamatan digital dalam kalangan perniagaan di rantau berkenaan.

Beliau berkata kaedah serangan mungkin berbeza mengikut pasaran, termasuk eksploitasi kelemahan perisian, pancingan data dan serangan perisian hasad secara besar-besaran, namun kesannya boleh dirasai di seluruh organisasi.

“Satu insiden sahaja boleh menyebabkan maklumat sensitif terdedah, mengganggu operasi harian dan menjejaskan kepercayaan pelanggan.

“Oleh itu, keselamatan siber bukan hanya tanggungjawab jabatan IT, sebaliknya memerlukan gabungan teknologi yang sesuai, kesedaran keselamatan serta amalan keselamatan digital secara konsisten dalam setiap operasi perniagaan,” katanya.

Menurut Kaspersky, susulan insiden keselamatan siber, antara langkah utama yang diambil syarikat di Asia Pasifik ialah melaksanakan penyelesaian pemantauan keselamatan IT, memperkukuh kawalan keselamatan awan serta mengetatkan keperluan pematuhan pihak ketiga, masing-masing mencatatkan 24 peratus.

Langkah lain termasuk meningkatkan latihan khusus untuk kakitangan IT, memasang penyelesaian keselamatan pada semua peranti pekerja, menyemak semula dasar kata laluan dan melaksanakan pengesahan pelbagai faktor, masing-masing sebanyak 22 peratus.

Kaspersky turut mengesyorkan PKS memperkukuh kawalan akses kepada sistem syarikat, melaksanakan sandaran data harian dan menyediakan latihan keselamatan siber secara berterusan kepada pekerja.

Kajian yang dijalankan oleh pusat penyelidikan dalaman Kaspersky itu melibatkan 1,800 responden di 18 negara, termasuk Malaysia, Indonesia, India, China, Thailand dan Vietnam, dengan 616 responden mewakili sektor PKS.