KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan jawatan pengerusi di sebuah syarikat dan meyakinkan Ahli Lembaga TH untuk bersetuju meluluskan cadangan pelaburan RM193.5 juta dalam syarikat itu, 12 tahun lepas.
Abdul Azeez, 59, yang juga bekas Ahli Parlimen Baling mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Faham pertuduhan, pertuduhan itu tidak benar sama sekali, mohon dibicarakan,” kata Abdul Azeez.
Mengikut pertuduhan, Abdul Azeez didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi TH untuk mendapatkan suapan berupa jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan remunerasi RM690,000 setahun, kemudahan sebuah kereta jenis BMW 7 Series berserta seorang pemandu tetap.
Bagi tujuan tersebut, beliau didakwa mengarahkan Tan Sri Ismee Ismail selaku Ketua Pegawai Eksekutif TH ketika itu, untuk mencadangkan namanya sebagai wakil TH di dalam Putrajaya Perdana Berhad.
Abdul Azeez juga dituduh bertindak meyakinkan Ahli Lembaga TH semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah TH Bil. 4/2014 supaya bersetuju meluluskan cadangan pelaburan hingga RM193.5 juta, merangkumi hingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada dalam Putrajaya Perdana Berhad, dengan beliau mempunyai kepentingan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Bangunan Tabung Haji, 201 Jalan Tun Razak dekat sini pada 25 Ogos 2014.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim membenarkan Abdul Azeez diikat jamin RM450,000 dengan dua penjamin warganegara tempatan berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur setiap tiga bulan sekali sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 11 Nov ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin, namun menyerahkan kepada budi bicara mahkamah berhubung jaminan.
“Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan RM1 juta dengan dua penjamin warga tempatan dan bukan ahli keluarga tertuduh,” katanya.
Seorang lagi TPR Law Chin How turut memohon agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai atas alasan terdapat risiko untuk tertuduh melarikan diri.
Law berkata tidak dapat dinafikan wujud kebarangkalian risiko melarikan diri dalam kes tersebut memandangkan kesalahan dihadapi tertuduh tidak boleh dijamin, selain mengambil kira jumlah wang yang terlibat seperti mana tertera dalam pertuduhan.
“Jadi isu penyerahan pasport kepada mahkamah bukan sesuatu yang baharu dan janggal. Tertuduh boleh membuat permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan semula pasport apabila beliau berhasrat untuk ke luar negara,” kata Law.
Beliau berkata tertuduh lazimnya sedia maklum mengenai jadual perjalanannya lebih awal dan pihak pendakwaan memberi jaminan tidak akan sengaja melengah-lengah atau melewatkan proses permohonan tersebut.
“Perkara itu tidak akan menjejaskan hak tertuduh untuk travel,” katanya.
Sementara itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan pada kadar munasabah dan tidak terlalu tinggi kerana tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah, bukannya menghukumnya.
Amer Hamzah turut memohon agar pasport antarabangsa anak guamnya tidak ditahan atas alasan tiada bukti menunjukkan Abdul Azeez berisiko melarikan diri, selain terdapat keperluan mendesak untuknya ke luar negara bagi urusan perniagaan.
“Anak guam telah dilantik sebagai perunding bagi sebuah syarikat di China sejak Jun tahun ini yang menuntut beliau melakukan perjalanan ke luar negara. Penahanan pasport secara berterusan dikhuatiri menjejaskan keupayaannya untuk melaksanakan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata Abdul Azeez telah disiasat sejak 2018 dan beliau memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM sepanjang siasatan.
“Kes ini mengambil masa bertahun-tahun dan tiada bukti menunjukkan anak guam mengganggu saksi atau siasatan. Selepas menjalani tempoh reman baru-baru ini, beliau tahu pertuduhan akan dikenakan terhadapnya dan beliau boleh mengambil tindakan melarikan diri sekiranya beliau berniat berbuat demikian.
“Sebaliknya, beliau menghubungi peguam dan memaklumkan bersedia dan menyatakan beliau akan menghadapi apa jua pertuduhan yang dikenakan kerana tahu beliau tidak bersalah,” katanya.
Sehubungan dengan itu, pihak pembelaan mencadangkan jaminan tidak melebihi RM500,000 berserta syarat tambahan Abdul Azeez melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap tiga hingga empat bulan sekali.
Bagaimanapun, Ahmad Akram menegaskan pihak pendakwaan tetap berpendirian pasport antarabangsa tertuduh wajar diserahkan dan disimpan di bawah jagaan mahkamah sehingga perbicaraan selesai.
Pada prosiding hari ini, Amer Hamzah turut dibantu peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat, Ashok Athimulan dan Joshua Tay. Turut hadir pada prosiding itu penyokong Abdul Azeez termasuk ahli keluarga dan anak lelakinya.
Pada 27 Ogos lepas, bekas pengerusi TH itu direman tujuh hari hingga 2 Sept bagi membantu siasatan susulan pendedahan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu.
Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik melalui portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lepas antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti kaedah keputusan pelaburan lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.
Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik dan RCI berkenaan mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
Skop siasatan RCI meliputi penelitian terhadap isu berkaitan TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020 dengan merujuk penemuan firma PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, tidak termasuk pelan penstrukturan serta pemulihan yang sedang dijalankan ketika itu.

