Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Untuk tiga tahun berturut-turut, pusat pendidikan khas, Taraana yang telah memenangi pelbagai anugerah berjaya menganjurkan Walk For Autism 2026 bertempat di Tropicana Metropark Urban Park, Subang Jaya, Selangor.
Acara ini berjaya menghimpunkan seramai 175 orang peserta yang terdiri daripada para pelajar Taarana, ahli keluarga serta masyarakat setempat dalam usaha memupuk kesedaran dan keterbukaan terhadap golongan autisme.
Acara jalan kaki yang dianjurkan bersempena dengan Bulan Kesedaran Autisme ini bertujuan untuk memupuk kefahaman tentang spektrum autisme di samping menggalakkan penerimaan masyarakat terhadap golongan tersebut.
Para peserta berjalan kaki sejauh 3 KM di sekitar taman tersebut dan disusuli dengan aktiviti-aktiviti seperti kios-kios informatif, permainan dan sesi ramah mesra komuniti.

Acara ini menekankan bagaimana usaha kebersamaan masyarakat mampu memperkasakan perubahan. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Taarana untuk meningkatkan kesedaran serta menggalakkan penerimaan golongan autisme dalam kehidupan seharian.
Melalui inisiatif ini juga, Taarana berjaya membuktikan komitmen mereka dalam memperjuangkan kesedaran, menggalakkan penerimaan serta mengeratkan hubungan dalam sebuah komuniti.
Taarana merupakan sebuah pusat pendidikan khas yang ditubuhkan oleh Yayasan RYTHM, iaitu sayap impak sosial untuk Kumpulan Syarikat QI. Pusat ini didedikasikan untuk membimbing dan mendidik kanak-kanak berkeperluan khas berusia empat hingga 18 tahun.

PAGI YANG PENUH MAKNA
Acara dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Datin Seri Umayal Eswaran, Pengerusi Yayasan RYTHM serta sesi memanaskan badan yang diketuai guru-guru dan ahli terapi Taarana bagi menyuntik semangat sebelum bermulanya agenda utama pada pagi ini.
Ahli keluarga, pelajar Taarana dan para peserta berjalan bersama-sama bagi memperkukuhkan lagi mesej bahawa kebersamaan bermula daripada penglibatan komuniti. Suasana di taman tersebut menjadi sebuah simbol solidariti yang cukup bermakna.
Acara ini menyerlahkan kepentingan mewujudkan sebuah persekitaran inklusif supaya individu neurodivergen rasa diterima dan dihargai.
“Apabila sebuah komuniti bersatu, kita boleh menghasilkan sesuatu yang hebat. Melalui acara ini, kami berharap dapat menyediakan sebuah ruang yang selamat dan ceria untuk keluarga serta masyarakat saling menyokong satu sama lain,” kata Dr. Sunitha Sivakumaran, Pengetua Taarana.

Bagi keluarga Encik Ismail Rasheed, acara tahunan ini telah menjadi sebuah tradisi yang amat bermakna bagi mereka setelah menyertai sejak acara ini pertama kali dijalankan pada tahun 2024. “Setiap tahun, kami dapat merasakan kemesraan dan tenaga yang sama terutama daripada para guru dan ahli terapi Taarana yang menjayakan acara ini.
Bagi keluarga kami, acara ini lebih daripada sekadar acara tahunan. Acara ini adalah peringatan bahawa anak kami mempunyai tempat di sini, dalam komuniti yang sentiasa memberi sokongan,” ujar Encik Ismail, bapa kepada Maryam Mahee dari Program Intervensi Awal Taarana.
Selain aktiviti jalan kaki, para peserta turut terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang direka khas untuk mendidik dan memperkasakan masyarakat tentang autisme. Sebanyak tujuh vendor telah mengambil bahagian dalam acara tersebut termasuklah Autism Cafe Project, Ara Damansara Medical Centre’s Child Development Centre, Sun Rehab serta Tropicana Berhad.
Kehadiran mereka adalah untuk memberi input kepada keluarga serta untuk memudahkan akses kepada rangkaian sokongan dalam komuniti. Penyertaan mereka turut memeriahkan suasana bagi memastikan para peserta dari semua peringkat umur dalam menikmati pengalaman yang disediakan.
Menurut Pengurus Pemasaran dari Ara Damansara Medical Centre’s Child Development Centre, Zoe Wan Seen Yee, beliau berkata, “Sokongan terhadap kanak-kanak dengan cabaran perkembangan memerlukan kerjasama erat daripada semua pihak. Saya amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada komuniti yang saling menyokong antara satu sama lain.”

MEMPERKASAKAN INKLUSIVITI MELALUI SOKONGAN STRATEGIK
Kejayaan acara jalan kaki ini merupakan sebuah hasil usaha kolektif para rakan kerjasama, sukarelawan dan organisasi yang sentiasa memberi sokongan.
Bagi kebanyakan individu autistik serta ahli keluarga mereka, sokongan daripada masyarakat amat bermakna dalam memupuk keyakinan, maruah serta rasa dihargai. Hal ini jelas membuktikan kepelbagaian yang dapat dicapai apabila semua pihak bersatu melalui sebuah empati, persefahaman dan visi yang sama.
Melalui inisiatif impak sosial Yayasan RYTHM, penglibatan Kumpulan QI dalam acara ini memperkukuhkan lagi komitmen kumpulan tersebut untuk membina sebuah komuniti yang inklusif.
“Acara hari ini bukan sekadar untuk meningkatkan kesedaran, tetapi sebuah kenyataan bahawa autisme bukanlah sesuatu yang asing. Justeru, masyarakat perlu memupuk sikap saling menghormati dan menerima perbezaan. Setiap langkah yang diambil bersama membuktikan bahawa neurodiversiti bukanlah satu kerumitan tetapi menguatkan komuniti kita,” ujar Datin Seri Umayal Eswaran dalam ucapannya.
Sebagai yayasan di sebalik Taarana, Yayasan RYTHM kekal teguh dalam komitmen mereka untuk memperkasakan para individu autistik dan berkeperluan khas, sama ada melalui inisiatif pendidikan mahupun usaha melibatkan komuniti seperti hari ini. Dedikasi yayasan ini menekankan kepentingan usaha bersama dalam memacu perubahan besar bagi memastikan iklusiviti terus menjadi teras dalam masyarakat.

Sokongan daripada Yayasan RYTHM juga telah membolehkan Taarana melakukan jangkauan, menambah baik program sedia ada serta memperkukuhkan sokongan untuk para keluarga dan pelajar mereka.
Sejak tahun penubuhannya pada 2011, Taarana telah berkembang menjadi sebuah pusat pendidikan khas yang diiktiraf dan menawarkan kurikulum peribadi serta sokongan terapeutik untuk kanak-kanak autistik, ADHD dan cabaran perkembangan lain. Usaha gigih ini justeru telah membolehkan Taarana merangkul gelaran Pusat Pendidikan Khas Terbaik pada tahun 2024.
Akhir sekali, kejayaan acara Walk For Autism terletak pada komuniti yang dibina. Acara hari ini mencerminkan kekuatan tersebut dengan para pelajar Taarana menjadi nadi utama yang terus memberi inspirasi kepada semua melalui semangat mereka.