Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ketua Polis Daerah Tawau yang baharu, ACP Rosdi Mat Jusoh bertekad meneruskan kecemerlangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan mengekalkan legasi kepimpinan terdahulu demi memastikan keselamatan masyarakat terus terpelihara.
Rosdi yang sebelum ini menjawat Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sabah berkata, pelantikan itu merupakan satu amanah besar yang akan dipikul dengan penuh keikhlasan, integriti dan tanggungjawab.
“Saya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan penuh rasa hormat terhadap perjalanan yang dilalui kepimpinan terdahulu.
“Usaha memperkasakan IPD Tawau akan diteruskan bagi menghargai asas kukuh yang dibina oleh mantan Ketua Polis Daerah, Allahyarham ACP Jasmin Hussin.
“Kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada kekuatan pasukan yang saling mempercayai dan berkongsi matlamat utama,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Rosdi secara rasmi menerima serah tugas daripada Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt dalam satu majlis yang turut menyaksikan beliau menerima kenaikan pangkat sebagai Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP).
Majlis berkenaan disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Dalam kenyataan sama, Jauteh berkata beliau yakin Rosdi mampu menerajui pentadbiran IPD Tawau dengan cemerlang serta meneruskan kecemerlangan pasukan polis di daerah berkenaan.
Menurut beliau, pengalaman luas dimiliki Rosdi diyakini mampu memperkukuh lagi aspek keselamatan dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Pada masa sama, Jauteh turut menzahirkan penghargaan kepada Allahyarham ACP Jasmin Hussin yang disifatkan sebagai seorang pegawai polis berdedikasi, berintegriti tinggi dan sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab.
Allahyarham Jasmin meninggal dunia pada 17 Jun lalu ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tawau.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 29 Julai lalu mengumumkan pertukaran melibatkan 26 pegawai kanan pasukan itu, termasuk pelantikan Rosdi sebagai Ketua Polis Daerah Tawau.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan