Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Emas keirin yang diraih pada penampilan terakhir di pentas Sukan Komanwel menjadi bukti semangat juang Datuk Azizulhasni Awang masih belum pudar, meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang kariernya.
Jaguh berbasikal trek negara itu meluahkan rasa syukur selepas menghadiahkan pingat emas ketujuh buat kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila muncul juara acara keirin lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Azizulhasni berkata kejayaan tersebut membuktikan usia, saiz fizikal dan pelbagai kekangan bukan penghalang untuk terus bersaing di peringkat tertinggi dunia.
“Sekali lagi saya membuktikan kepada dunia yang kerja keras, niat yang baik, kesungguhan dan ketekunan yang tinggi akhirnya akan menghadirkan sebuah kejayaan dalam kehidupan seharian kita.
“Siapa sangka, pada usia sebegini yang dilihat sebagai terlalu lewat di peringkat elit, ditambah dengan saiz tubuh badan yang jauh terlalu kecil jika dibandingkan dengan pihak lawan yang lain, akan tetapi saya masih mampu menggapai sesuatu yang rata-rata ramai orang menggelengkan kepala,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan itu tidak akan dapat dicapai tanpa doa serta sokongan berterusan daripada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa berdiri teguh di belakang perjuangannya.
“Ucapan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan dan doa berterusan kepada saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azizulhasni turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja yang disifatkan sebagai tulang belakang kepada karier profesionalnya.
Katanya, sokongan daripada CIMB Malaysia, Malaysia Airlines, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., 100PLUS Malaysia, Volkswagen Malaysia, Swiss Watch, Daikin Malaysia, AZ E-Bike, Shopee Malaysia, Oakley South East Asia, Kabuto, Wattbike serta Kerajaan Negeri Terengganu banyak membantu kejayaannya.
“Sebagai pelumba profesional, sokongan penajaan daripada mereka ini tersangatlah penting untuk kejayaan saya hari ini.
“Kalau anda semua menghargai kemenangan saya di sini, hargailah juga usaha penaja-penaja yang menjadi tulang belakang karier saya ini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada individu paling berjasa dalam perjalanan kariernya, termasuk jurulatih John Beasley, selain isteri tercinta, Tya Boo, anak-anak, ibu serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti.
Azizulhasni berkata kejayaannya juga tidak dapat dipisahkan daripada peranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) serta Kerajaan Negeri Terengganu yang sentiasa menyokong pembangunan kariernya.
Pingat emas itu merupakan emas pertama Azizulhasni di pentas Sukan Komanwel, sekali gus melengkapkan penampilan terakhirnya di temasya berprestij berkenaan dengan penuh bergaya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan