Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bantu Tanpa Diminta, Kisah Rider RXZ Hulur Pertolongan Di Tepi Lebuh Raya Raih Pujian

RXZ
Tangkap layar video Threads/ @mamaaziah

Bantu Tanpa Diminta, Kisah Rider RXZ Hulur Pertolongan Di Tepi Lebuh Raya Raih Pujian

Di sebalik pelbagai persepsi yang sering dikaitkan dengan komuniti Yamaha RXZ, beberapa perkongsian tular di media sosial baru-baru ini membuka sisi berbeza apabila sekumpulan rider tampil menghulurkan bantuan kepada pengguna jalan raya yang berada dalam kesusahan.

Menerusi satu hantaran di Threads, pengguna @mamaaziah berkongsi detik cemas apabila tayar keretanya pecah selepas Tol Bukit Lagong ketika dalam perjalanan.

Menurutnya, dia cuba menghubungi talian bantuan lebuh raya, namun panggilannya tidak berjaya disambungkan kerana talian sibuk.

“Semalam tayar kereta saya pecah selepas Tol Bukit Lagong. Call Plusline sibuk memanjang. Alhamdulillah Allah hadirkan tiga geng RXZ berhenti untuk memberi bantuan kepada saya. Mereka dari Kuala Terengganu usai majlis RXZ untuk pulang ke Shah Alam.

“Bukan semua geng RXZ itu buruk kelakunya. Bersangka baiklah kita sesama manusia. Terima kasih geng RXZ,” katanya.

Dalam hantaran susulan, beliau berkata suaminya pada ketika itu turut menghubungi talian bantuan lebuh raya bagi mendapatkan bantuan.

“Memang suami call hotline Prolintas,” ujarnya.

Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi positif daripada pengguna media sosial yang berkongsi pengalaman hampir sama menerima bantuan daripada komuniti penunggang motosikal.

Seorang pengguna, @makeupbyyanaelliana, berkata sikap suka membantu tidak seharusnya dinilai berdasarkan minat atau jenis motosikal yang ditunggang seseorang.

“Kadang-kadang geng-geng mat motor inilah yang banyak tolong kita. Yang baik atau tak itu bergantung kepada individu, bukan daripada minat seseorang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, @tiyah_7144, turut berkongsi pengalaman apabila motosikalnya mengalami kerosakan pada waktu malam sebelum dibantu sekumpulan rider RXZ yang sanggup berpatah balik.

“Bearing saya pecah masa tengah lock. Tapi respect dekat brader-brader ini sanggup patah balik tolong saya dalam keadaan gelap berhenti di tepi jalan. Mereka tak sangka pun yang saya perempuan,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, beliau berkata pengalaman tersebut menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan kerana semangat setiakawan yang dipamerkan oleh kumpulan penunggang terbabit.

Tangkap layar video Threads/ @tiyah_7144

“Aku simpan sini sebagai kenangan. Mungkin di mata orang yang pakai RXZ ini sampah masyarakat, tapi di mata aku yang join event ini kau takkan jumpa erti tolong-menolong tanpa mengenal.

“Nilai setiakawan itu yang mahal. Satu tunda, semua tak gerak. Simple math, pergi 30, balik 30.

“Terima kasih banyak abang-abang RXZ Pantai Racing. Hanya Allah saja mampu membalas jasa baik abang-abang semua yang tak tinggalkan saya seorang diri di tepi jalan yang gelap, malah sanggup berpatah balik membantu,” ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, seorang lagi pengguna, @abdullah.noraizan, turut menitipkan doa buat kumpulan penunggang berkenaan.

“Alhamdulillah. Moga lampu isyarat abang-abang motor ini sentiasa hijau, tangki minyak sentiasa penuh, rezeki sentiasa mengalir selancar air zam-zam. Aamiin,” katanya.

Perkongsian tersebut sekali lagi membuktikan bahawa nilai kemanusiaan dan sikap saling membantu tidak mengenal latar belakang atau jenis kenderaan, sebaliknya bergantung kepada keikhlasan individu yang sanggup berhenti menghulurkan bantuan ketika orang lain memerlukan.

Intipati
  • Pengguna Threads berkongsi kisah tiga rider RXZ membantunya selepas tayar kereta pecah.
  • Beliau berkata talian bantuan lebuh raya sibuk sebelum kumpulan itu berhenti membantu.
  • Pengguna lain turut berkongsi pengalaman positif menerima bantuan daripada komuniti penunggang RXZ.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan