Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto meminta pihak-pihak yang mengkritik harga beras mahal untuk menanam padi sendiri.
Memetik laporan TEMPO, Prabowo berkata mereka yang mengkritik harga beras tidak memahami kesukaran yang dihadapi petani dalam menghasilkan beras.
Beliau percaya pihak-pihak tersebut tidak mahu petani mengaut pendapatan tinggi daripada harga komoditi mereka.
"Mereka yang mengatakan beras terlalu mahal, suruh mereka ikut tanam padi juga.
"Jika petani padi tidak dibenarkan memperoleh pendapatan tinggi, maka beritahu mereka untuk menanam padi sendiri," katanya ketika berucap di acara tuaian Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Kabupaten Malang, wilayah Jawa Timur pada Jumaat.
Bekas Menteri Pertahanan itu kemudian berseloroh bahawa TNI dan Menteri Pertanian, Amran Sulaiman akan menyediakan tanah khas untuk pengkritik tersebut dan membolehkan mereka menanam padi di sana.
"Suruh mereka tanam sendiri," ujarnya.
Prabowo menekankan bahawa petani mesti hidup makmur dengan pendapatan yang tinggi.
Pengerusi Agung Parti Gerindra itu percaya bahawa petani dan nelayan pada asasnya adalah wira yang membantu menyediakan makanan ruji untuk rakyat.
"Terima kasih para petani dan nelayan Indonesia. Anda adalah wira sejati kerana meghasilkan makanan untuk kita semua," kata Prabowo.

Dalam pada itu, beliau juga telah memulakan penuaian besar-besaran bagi tanaman tebu, kacang soya dan beras secara serentak di 43 lokasi di seluruh Indonesia.
Penuaian tersebut merupakan sebahagian daripada program keselamatan makanan kerajaan, yang melibatkan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara Indonesia.
Menerusi ucapannya, Prabowo juga mengucapkan tahniah kepada TNI atas kejayaan pelaksanaan program tuaian bersepadu.
Beliau percaya program tersebut menunjukkan bahawa keselamatan makanan bukan semata-mata tanggungjawab Kementerian Pertanian, tetapi merupakan gerakan nasional yang melibatkan seluruh negara.
"Saya amat menghargai semangat perpaduan dan kerjasama daripada semua komponen negara," kata Prabowo.