Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ramai menyangka tugas seorang juruterbang bermula sebaik sahaja memasuki kokpit, namun hakikatnya mereka perlu melalui beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebelum sesebuah pesawat dibenarkan berlepas.
Bagi menjelaskan perkara itu, Siakap Keli hari ini menghubungi Kapten Juruterbang Boeing 757 & 767, Mohd Ezairol Rezan Zainol bagi mendapatkan gambaran mengenai SOP yang perlu dipatuhi juruterbang sebelum mengendalikan penerbangan domestik mahupun antarabangsa.
Menurut Mohd Ezairol, setiap juruterbang diwajibkan melapor diri lebih awal bagi memastikan semua aspek operasi penerbangan berada dalam keadaan selamat sebelum pesawat berlepas.
"Ikut protokol biasa, biasanya pilot akan lapor tugas sejam lebih awal. Ini bagi memeriksa laluan penerbangan, cuaca dan juga menyemak bahan api yang diperlukan untuk ke destinasi," katanya ketika dihubungi Siakap Keli.
Beliau berkata, selain persediaan operasi penerbangan, juruterbang juga tertakluk kepada prosedur keselamatan lapangan terbang yang mematuhi piawaian antarabangsa.
Menurutnya, sistem keselamatan penerbangan di Malaysia dibangunkan mengikut standard yang ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
"Undang-undang keselamatan di Malaysia memenuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan. Cuma ada beberapa penambahbaikan seperti penggunaan mesin pengimbas yang lebih efektif bagi menggantikan pengimbas sedia ada di kaunter berlepas.
"Unit anjing pengesan K9 juga boleh diperluaskan penggunaannya sebagai lapisan keselamatan tambahan," ujarnya.
Dalam masa sama, Mohd Ezairol turut menjelaskan terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat mengenai proses pemeriksaan keselamatan yang dilalui kru penerbangan.
Beliau berkata, juruterbang dan kakitangan lapangan terbang tetap perlu melalui pemeriksaan keselamatan sebelum memasuki kawasan operasi lapangan terbang.
Menurutnya, laluan khas yang digunakan oleh kru penerbangan bukan bermaksud mereka dikecualikan daripada pemeriksaan, sebaliknya hanya berbeza dari segi laluan akses kerana faktor operasi.
Katanya, semua barangan yang dibawa kru tetap melalui proses saringan keselamatan yang dikendalikan oleh anggota Aviation Security (AVSEC) mengikut prosedur ditetapkan.
Mengulas mengenai bagasi yang didaftarkan lebih awal atau early check-in, Mohd Ezairol berkata, perkara itu merupakan amalan biasa dalam keadaan tertentu dan tidak menyalahi mana-mana prosedur operasi syarikat penerbangan.
Menurutnya, situasi berkenaan lazim berlaku apabila seseorang juruterbang dijadualkan menyambung penerbangan ke destinasi lain atau meneruskan perjalanan selepas tamat tugasan.
Beliau berkata, setiap proses daftar masuk bagasi tetap tertakluk kepada prosedur keselamatan yang ditetapkan oleh pihak lapangan terbang.
Dalam pada itu, Mohd Ezairol berpandangan sistem keselamatan penerbangan sentiasa boleh dipertingkatkan selari dengan perkembangan teknologi semasa.
Katanya, penggunaan mesin pengimbas generasi baharu yang lebih canggih serta penambahan unit pengesan K9 mampu menjadi nilai tambah dalam memperkukuhkan sistem keselamatan lapangan terbang di negara ini.
"Teknologi sentiasa berkembang. Sudah tiba masanya kita menilai penggunaan sistem yang lebih moden bagi memastikan tahap keselamatan penerbangan negara terus berada pada tahap terbaik," katanya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan