Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berkaitan dakwaan kemasukan pelajar ke universiti awam tanpa melalui saluran Unit Pusat Universiti (UPU).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pertuduhan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, pihak polis menerima sebanyak 15 laporan berhubung kenyataan yang dibuat Haim Hilman ketika menghadiri satu program di Seremban, Negeri Sembilan pada 13 Jun lalu.
“Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi prosiding hari ini, Haim Hilman diwakili peguam Mohd Faizi Che Abu dan Yahaya Othman.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam pada itu, Kumar mengingatkan orang ramai supaya menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan perjalanan kes.
Katanya, pengguna media sosial juga dinasihatkan supaya lebih berhemah serta tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Terdahulu, Haim Hilman ketika berucap dalam Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan mendakwa terdapat kemasukan pelajar ke universiti awam melalui saluran terbuka atau ‘pintu belakang’ tanpa melalui UPU.
Kenyataan itu mencetuskan pelbagai reaksi termasuk mendorong Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneliti kemungkinan tindakan undang-undang.
Bagaimanapun, Haim Hilman sebelum ini mempertahankan kenyataannya dengan menjelaskan isu yang dibangkitkan lebih menjurus kepada soal ketelusan serta keadilan akses pendidikan tinggi, khususnya melibatkan pelajar daripada golongan B40 dan M40.