Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Agensi Nuklear Malaysia Laksana Program N.U.R@Wanita Memperkasa Wanita Dalam Advokasi Nuklear

Agensi Nuklear Malaysia

CYBERJAYA, 22 Ogos 2026 – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperkukuhkan usaha mendekatkan sains dan teknologi (S&T) nuklear kepada masyarakat menerusi penganjuran Program Advokasi Nuklear: Nuklear untuk Rakyat (N.U.R) @Wanita di RekaScape, Cyberjaya hari ini.

Program yang dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datin Safida Zalma binti Mohd Piah, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberi tumpuan kepada golongan wanita sebagai salah satu kumpulan strategik dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berasaskan fakta mengenai penggunaan teknologi nuklear secara aman dan selamat.

N.U.R@Wanita bukan sekadar program pendedahan sains, malah menjadi platform untuk memperkasa wanita, keluarga dan komuniti dengan pengetahuan mengenai aplikasi teknologi nuklear dalam kehidupan seharian, sekali gus membina kefahaman dan keyakinan masyarakat terhadap manfaat teknologi nuklear.

Program turut memberi penekanan kepada peranan wanita sebagai pemudah cara dalam penyampaian maklumat dan literasi sains serta teknologi di peringkat keluarga dan komuniti. Peranan ini penting memandangkan wanita sering menjadi antara sumber rujukan dalam membentuk kefahaman, membuat keputusan serta menyampaikan maklumat kepada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling.

Melalui pendekatan berasaskan fakta dan penyampaian maklumat yang mudah difahami, program ini diharap dapat membantu menangani salah faham serta persepsi negatif terhadap teknologi nuklear, di samping meningkatkan kefahaman dan keyakinan masyarakat terhadap manfaat penggunaannya.

Pelbagai aktiviti interaktif dan berasaskan pengalaman turut disediakan untuk peserta daripada pelbagai peringkat umur, termasuk Cabaran Inovasi Masakan Ubi Kayu Nuklear, STEM Escape Room, pertandingan mewarna, sesi perkongsian Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R) serta pameran produk dan perkhidmatan Nuklear Malaysia. Aktiviti-aktiviti ini dirangka untuk pelbagai peringkat umur bagi menjadikan penerokaan sains dan teknologi nuklear lebih mudah difahami, menarik dan dekat dengan kehidupan seharian.

Pelaksanaan N.U.R@Wanita merupakan antara usaha proaktif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Nuklear Malaysia dalam menyokong aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 khususnya dalam memastikan manfaat teknologi nuklear dapat difahami dan dimanfaatkan oleh masyarakat.

Inisiatif ini turut selari dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 dalam memperkukuh ekosistem S&T negara yang mampan dan berdaya saing, di samping menjadikan teknologi sebagai pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat.

Program ini turut mendapat kerjasama rakan strategik, Bioeconomy Corporation (BEC) serta sokongan rakan pelaksana daripada Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) dan Pusat Sains Negara (PSN) yang menyumbang kepakaran masing-masing dalam aspek bioekonomi, kawal selia keselamatan nuklear dan pendekatan sains interaktif kepada masyarakat. Program ini turut disertai oleh pelbagai pihak termasuk Women in Nuclear (WiN), wakil PUSPANITA di peringkat MOSTI, jabatan dan agensi di bawahnya serta komuniti setempat.

Melalui penganjuran N.U.R@Wanita, Nuklear Malaysia berharap usaha advokasi yang dilaksanakan dapat memperluas capaian maklumat berkaitan teknologi nuklear, meningkatkan literasi S&T dalam kalangan masyarakat serta membina masyarakat yang lebih berpengetahuan, terbuka dan yakin terhadap manfaat teknologi nuklear untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

Intipati
  • Nuklear Malaysia menganjurkan N.U.R@Wanita di RekaScape, Cyberjaya, dengan tumpuan kepada golongan wanita.
  • Program itu bertujuan menyampaikan maklumat tepat mengenai penggunaan teknologi nuklear secara aman dan selamat.
  • Inisiatif ini menyokong DTNN 2030 dan DSTIN 2021–2030 melalui advokasi sains kepada masyarakat.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan