Sebanyak 10,033 majikan pekerja domestik dikenal pasti masih belum memenuhi kewajipan pendaftaran atau pembayaran caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 1 November 2026.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan mendedahkan bahawa daripada jumlah tersebut, seramai 598 individu berprofil tinggi termasuk golongan kenamaan (VVIP) turut dikesan belum memenuhi kewajipan berkenaan.
Menurutnya, golongan berkenaan termasuk VVIP, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pemegang jawatan penting dalam sektor awam dan swasta.
Dalam perkembangan sama, sebanyak 26,669 majikan lagi dikesan mempunyai rekod tunggakan caruman yang memerlukan semakan serta tindakan susulan daripada PERKESO.
Ramanan menegaskan bahawa kedudukan, pangkat dan pengaruh seseorang tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab mencarum demi melindungi kebajikan pekerja domestik.
“Saya ingin tegaskan bahawa kedudukan, pangkat, pengaruh atau status seseorang tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab ini. No one is above the law. Undang-undang terpakai kepada semua.
“Kita tidak boleh bercakap tentang kebajikan pekerja sekiranya tanggungjawab paling asas terhadap pekerja di rumah sendiri masih diabaikan. Kepimpinan melalui teladan mesti bermula dengan pematuhan kepada undang-undang,” katanya.
598 VVIP Gagal Bayar Caruman PERKESO

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Faedah PERKESO kepada waris mangsa bencana banjir Nepal, hari ini.
Dalam pada itu, Ramanan menetapkan 7 Disember 2026 sebagai tarikh akhir untuk majikan terlibat menyelesaikan kewajipan masing-masing.
Beliau turut mengingatkan bahawa pihaknya tidak berhasrat untuk memalukan mana-mana majikan dengan mendedahkan identiti mereka kepada umum, sebaliknya mahu memastikan semua pihak melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Kita tak mahu memalukan sesiapa, saya pun tak mahu paparkan nama mereka. Tolong periksa sama ada dah bayar atau tak. Kalau dah bayar, terima kasih. Kalau belum bayar, tolong bayar,” katanya.
Menurutnya, majikan yang masih gagal mematuhi kewajipan tersebut boleh dikenakan kompaun sebelum berdepan tindakan undang-undang, termasuk denda sehingga RM10,000, penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Saya bukannya nak kompaun itu, saya bukan nak denda itu. Bayar, sebab perlindungan sosial mereka ini penting,” ujarnya.

