Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ahli Parlimen Minta Kerajaan Perjelas Larangan Guna Waze, Tahap Keselamatan Aplikasi Lain

Waze
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kerajaan disaran memperincikan rasional larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam, dan tahap risiko aplikasi popular yang lain.

Chow Yu Hui (PH-Raub) berkata larangan penggunaan Waze atas faktor kebimbangan pendedahan data lokasi kepada Israel wajar diperjelas, selain perbezaannya dengan tahap keselamatan aplikasi popular lain milik Amerika Syarikat (AS) seperti WhatsApp dan Instagram.

Beliau berkata AS sendiri mempunyai rekod pengawasan pemimpin asing dan secara terbuka menyokong Israel, justeru kerajaan perlu telus mengenai perbezaan tahap risiko yang diambil kira dalam membuat keputusan itu.

“Amerika Syarikat juga pernah terpalit dengan pendedahan pengawasan terhadap pemimpin asing termasuk bekas Canselor Jerman Angela Merkel. Tambahan pula, Kerajaan Amerika Syarikat turut menyokong Israel.

“Jika Waze diharamkan kerana katanya syarikatnya adalah di Israel sedangkan Waze telah dimiliki oleh Google sejak tahun 2013... apakah perbezaan risiko keselamatan data antara Waze dengan Google Maps yang dimiliki syarikat induk yang sama?” soalnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Turut senada, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) membangkitkan kebimbangan mengenai tahap keselamatan aplikasi lain yang sering digunakan oleh orang ramai.

“Dikatakan pangkalan data Waze ini terletak di Israel tetapi sebenarnya banyak aplikasi yang kami gunakan adalah dikawal oleh syarikat ataupun individu Yahudi juga.

“Jadi, adakah ia juga terdedah kepada isu keselamatan yang sama? Saya tidak mempertikaikan kemungkinan ada isu keselamatan tetapi saya rasa satu penjelasan terperinci harus diberikan kerana banyak orang tertanya-tanya sekarang, kenapa keputusan ini dibuat dan adakah mereka sendiri terdedah kepada risiko ini,” katanya.

Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh Israel.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.


Sumber:BERNAMA