KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan telah menandatangani Surat Cara Proklamasi secara paksaan dan tanpa rela hati.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata pertemuan itu akan diadakan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang sedang berlangsung sehingga Sabtu ini.
“Saya tidak jelas mengenai perkara itu sebab saya tidak berada dalam majlis ataupun ketika penandatanganan itu dilakukan. Beliau pastinya akan bertemu dengan saya ketika PAU ini diadakan dan penjelasan akan dibuat oleh beliau dan saya akan bertanya latar belakang mengenai kenyataan beliau.
“PAU telah bermula, bila-bila masa saya akan memberikan waktu untuk bertemu dengan beliau,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Buku 13 Propaganda Perang Sun Tzu sempena PAU 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Semalam, Ismail menjelaskan bahawa Surat Cara Proklamasi yang tular menerusi kenyataan media sebelum ini telah ditandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan.
Ismail berkata beliau telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Merujuk kepada isu dokumen Surat Cara Proklamasi (Surat Cara tersebut) yang tular dalam kenyataan media pada malam 8 Sept, saya ingin menjelaskan bahawa Surat Cara tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan.
“Kerajaan Negeri berpendirian bahawa Surat Cara tersebut tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya dalam kenyataan semalam.

