Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

AKAR 2026 Sasar Pengiktirafan Malaysia Book Of Records

AKAR

AKAR 2026 Sasar Pengiktirafan Malaysia Book Of Records

Aneka Walk, Shah Alam, 1 Julai 2026. Anugerah Kreatif Aspirasi Reka (AKAR) 2026 anjuran Yayasan KRU, dengan sokongan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), mencipta sejarah apabila lebih 153,056 murid prasekolah di seluruh negara menyertai pertandingan mewarna secara serentak hari ini.

Pencapaian ini didorong oleh sokongan padu KEMAS yang berjaya menganjurkan pertandingan AKAR 2026 secara serentak di lebih 10,583 TABIKA KEMAS di seluruh negara, melibatkan lebih 123,013 murid. JPNIN turut memainkan peranan penting melalui penyertaan lebih 1,781 Tabika Perpaduan dengan penglibatan sekitar 25,623 murid.

Sebagai program utama tahun ini, Yayasan KRU mensasarkan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori penyertaan murid prasekolah terbesar dalam pertandingan mewarna.

Menurut Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man,"Dalam era teknologi yang berkembang pesat, kreativiti merupakan antara kemahiran terpenting bagi melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing. Saya mengucapkan tahniah kepada Yayasan KRU atas penganjuran AKAR 2026 serta merakamkan penghargaan kepada seluruh warga TABIKA KEMAS yang telah menjayakan pertandingan ini secara serentak di seluruh negara."

Ketua Pengarah JPNIN, Tuan Zulkifli Hashim berkata, “Penyertaan lebih 25,623 murid daripada 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak merupakan asas penting dalam membentuk generasi yang mampu hidup bersama dalam kepelbagaian."

"Aktiviti seperti AKAR 2026 memberi ruang kepada kanak-kanak untuk belajar berinteraksi, berkongsi pengalaman dan menghargai perbezaan melalui pendekatan yang menyeronokkan. Pendekatan sebegini selaras dengan usaha JPNIN untuk menyemai nilai perpaduan, hormat-menghormati dan semangat kebersamaan sejak usia muda, kerana pembentukan masyarakat yang harmoni perlu bermula dari peringkat awal Pendidikan.”

AKAR merupakan pertandingan seni kreatif peringkat negeri dan kebangsaan yang julung kali dianjurkan oleh Yayasan KRU. Program tahunan ini bertujuan mencungkil bakat kreatif kanak-kanak, memupuk minat terhadap seni serta menyemai kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar.

Hadiah yang ditawarkan dalam pertandingan ini amat lumayan iaitu berjumlah lebih RM125,000 untuk para pemenang dalam kalangan murid dan sekolah bagi peringkat negeri dan kebangsaan. Lebih istimewa, hadiah pemenang untuk murid berjumlah RM99,750.00 akan diberikan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Pertandingan yang dijalankan sebagai aktiviti kokurikulum di dalam kelas ini berlangsung dari 1 hingga 31 Julai 2026. Para pemenang juga akan menerima pengiktirafan di peringkat negeri dan kebangsaan, trofi, sijil serta hadiah wang tunai.

Presiden, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Dato' Norman Abdul Halim berkata "Kejayaan awal AKAR 2026 membuktikan bahawa apabila kerajaan, sektor korporat, institusi pendidikan dan masyarakat berganding bahu, kita mampu melaksanakan program berskala nasional yang memberi manfaat kepada generasi muda."

"Kami amat menghargai sokongan KPM, KEMAS, JPNIN, PTPTN, para penaja dan sukarelawan yang menjadi tulang belakang kejayaan ini. Insya-Allah, AKAR akan terus diperluaskan ke sekolah menengah pada tahun 2027 dan institusi pengajian tinggi pada tahun 2028 sebagai platform pembangunan kreativiti yang berterusan."

Majlis pelancaran turut menyaksikan pengumuman pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Majlis Kebangsaan Yayasan KRU bersama 16 Ketua Penyelaras Negeri dan Wilayah Persekutuan yang akan menerajui jawatankuasa Yayasan KRU di peringkat negeri dan wilayah termasuk penyelasaran sukarelawan dan pelaksanaan AKAR 2026. Senarai penuh ahli Majlis Kebangsaan Yayasan KRU adalah seperti di Lampiran 1.

Bagi memperluaskan penyertaan masyarakat, Yayasan KRU turut membuka pendaftaran kepada orang ramai yang berminat menjadi sukarelawan melalui laman sesawang Yayasan KRU. Selain AKAR 2026, sukarelawan turut berpeluang menyertai pelbagai program yang dianjurkan oleh Yayasan KRU.

Dalam usaha memperluaskan penyertaan murid sekolah rendah, PTPTN turut mengumumkan penganjuran Siri Jelajah AKAR 2026 yang akan berlangsung di 40 buah sekolah rendah terpilih di seluruh negara.

Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata "PTPTN menyokong penganjuran Siri Jelajah AKAR 2026 sebagai platform yang berkesan membudayakan amalan penabungan dalam kalangan masyarakat, khususnya ibu bapa dan anak-anak. Program seperti ini mampu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membuat persediaan awal bagi pembiayaan pendidikan serta menggalakkan lebih ramai ibu bapa memulakan tabungan pendidikan melalui Simpan SSPN demi masa depan anak-anak."

Pelaksanaan Siri Jelajah AKAR 2026 di 40 buah sekolah rendah serta sasaran penyertaan jutaan murid di seluruh negara turut mendapat sokongan padu Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia.

Majlis pelancaran turut mengiktiraf barisan penaja dan rakan strategik AKAR 2026 yang memainkan peranan penting dalam menjayakan pelaksanaan awal program di seluruh negara. Mereka terdiri daripada Astro Audio, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Aras Integrasi, Sony Music Entertainment Malaysia, Runningmen Celebrations, Kacang Network, Wetland Studios dan Boom!.

Yayasan KRU turut memperkenalkan Barangan (Merchandise) Rasmi AKAR 2026, di mana lebihan hasil jualan selepas menampung kos produk dan operasi akan disalurkan kepada tabung Yayasan KRU bagi membiayai program-program Yayasan KRU.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai AKAR 2026, jadual Siri Jelajah AKAR, penyertaan pertandingan, peluang menjadi sukarelawan serta pembelian Barangan Rasmi AKAR menerusi laman sesawang www.yayasankru.org dan platform media sosial rasmi Yayasan KRU.