Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Aktivis Charlie Kirk Ditembak Di Khalayak Ramai, Disahkan Maut
Aktivis konservatif terkenal Amerika Syarikat (AS) dan sekutu rapat Presiden Donald Trump, Charlie Kirk disahkan meninggal dunia.
Lapor CNN, beliau ditembak di khalayak ramai ketika menghadiri sebuah acara di Utah Valley University, pada Rabu.
Menurut polis kampus, insiden berlaku sekitar jam 12.10 tengah hari ketika Kirk sedang berucap di bawah khemah acara yang dipenuhi pelajar.
Bunyi tembakan kedengaran lalu mencetuskan suasana panik, dengan orang ramai menjerit agar penonton segera menyelamatkan diri.
Kirk, 31, dilaporkan terkena tembakan dan segera dibawa keluar oleh pasukan keselamatan sebelum dikejarkan ke hospital. Bagaimanapun, beliau tidak dapat diselamatkan.
Presiden Trump menzahirkan kesedihan mendalam atas kehilangan sahabat karibnya itu.
“Charlie Kirk yang hebat, malah legenda, telah tiada. Tiada siapa memahami jiwa belia Amerika Syarikat lebih daripada Charlie. Beliau disayangi dan dikagumi oleh semua, terutama saya.
“Kini, beliau sudah tiada bersama kita. Saya dan Melania merakamkan takziah kepada isterinya yang cantik, Erika, serta seluruh keluarganya. Charlie, kami menyayangimu,” tulis Trump di platform media sosialnya, Truth Social.
Sementara itu, Gabenor Utah, Spencer Cox, turut mengecam kejadian tersebut dan menegaskan pihak bertanggungjawab akan diheret ke muka pengadilan.
“Keganasan tidak boleh diterima dalam kehidupan awam. Kita mesti bersatu menolaknya,” katanya.
Selain itu, tokoh politik lain termasuk Speaker Dewan Mike Johnson, Peguam Negara Pamela Bondi dan Gabenor California Gavin Newsom menyampaikan doa serta solidariti mereka.
Charlie Kirk merupakan pengasas Turning Point USA, sebuah pertubuhan konservatif yang aktif di sekolah menengah dan universiti seluruh Amerika.
Beliau juga seorang podcaster dan personaliti media dengan jutaan pengikut di media sosial.
Kirk dikenali sebagai penyokong tegar Trump, malah peranannya dalam pergerakan MAGA (Make America Great Again) menjadikannya salah seorang tokoh paling berpengaruh dalam politik konservatif moden.
Beliau telah berkahwin dengan bekas Miss Arizona, Erika Frantzve, dan dikurniakan dua anak.
BACA: Isteri Bekas PM Nepal Maut, Rumah Dibakar Penunjuk Perasaan
BACA: Menteri Kewangan Nepal Diserang Di Jalanan
BACA: Rumah Menteri Tenaga Nepal Dibakar, Wang Kertas “Jatuh” Dari Langit