Ahli Parlimen Algeria pada Khamis meluluskan satu undang-undang yang memperuntukkan hukuman mati terhadap individu yang disabitkan kesalahan membakar hutan dengan sengaja, susulan kebakaran besar yang meragut nyawa di beberapa kawasan negara itu sejak kebelakangan ini.
Angka kematian rasmi akibat kebakaran yang melanda timur laut Algeria sepanjang musim panas ialah 12 orang, namun saksi mendakwa jumlah sebenar korban mungkin mencecah puluhan orang, lapor AFP.
Algeria sebelum ini mengekalkan moratorium hukuman mati sejak 1993. Bagaimanapun pada Ogos lalu, Presiden Abdelmadjid Tebboune mengarahkan Menteri Kehakiman meminda kanun keseksaan bagi memperluaskan senarai kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati.
Di bawah undang-undang baharu itu, sesiapa yang disabitkan bersalah dengan sengaja membakar hutan, kawasan berhutan atau tanah yang ditanam mahupun tidak ditanam boleh berdepan hukuman mati.
Pada Khamis, ahli Parlimen turut meluluskan peluasan hukuman mati terhadap kes penculikan kanak-kanak yang melibatkan penyeksaan, serangan seksual atau mutilasi.
“Pelaksanaan hukuman mati terhadap perbuatan seperti ini merupakan tindak balas undang-undang yang sesuai bagi membendung jenayah berkenaan,” kata Menteri Kehakiman, Lotfi Boudjemaa selepas undian di Parlimen.
Walaupun moratorium masih berkuat kuasa, beberapa hukuman mati tetap pernah dijatuhkan termasuk dalam kes berkaitan keganasan, namun setakat ini tiada pelaksanaan hukuman mati dilakukan.
Tebboune sebelum ini berkata individu yang dijatuhi hukuman mati akan menjalani hukuman tersebut selepas semua proses rayuan mereka selesai.
Rang undang-undang itu mendapat sokongan gabungan pemerintah, manakala sebahagian anggota pembangkang membantahnya.
“Kami mengundi menyokong rang undang-undang ini kerana kepentingannya bukan sahaja dari segi perundangan, tetapi juga dari sudut politik dan sosial bagi masyarakat Algeria,” kata ahli Parlimen Parti National Rally for Democracy, Fatma Zahra Bensafi kepada AFP.
Bagaimanapun, parti sekular Rally for Culture and Democracy (RCD) mengundi menentang.
“Kami menentang hukuman mati dan pendirian ini bukan sesuatu yang baharu bagi RCD.
“Sejak penubuhannya, parti ini telah berkempen menentang hukuman mati.
“Kami percaya bahawa negara tidak membalas dendam atau membunuh. Negara melindungi rakyat,” kata ahli Parlimen, Rachid Hassani.
Hukuman Mati Bakar Hutan
Sementara itu, Amnesty International bulan lalu menggesa Algeria supaya tidak meluluskan undang-undang tersebut dan tidak menyambung semula pelaksanaan hukuman mati.
Kumpulan hak asasi itu menyifatkan langkah berkenaan sebagai tindakan yang sangat mengundur ke belakang, sambil menggesa pihak berkuasa memberi tumpuan kepada usaha melindungi nyawa, memperkukuh langkah pencegahan serta meningkatkan tindak balas kecemasan terhadap kebakaran hutan yang berulang.
Menteri Kehakiman bagaimanapun berkata sistem kehakiman Algeria masih menyediakan perlindungan kepada individu yang berdepan hukuman mati, termasuk hak untuk membuat rayuan atau memohon pengampunan Presiden.
Namun Boudjemaa berkata hukuman lebih berat diperlukan kerana kes pembakaran dengan sengaja telah mencapai tahap jenayah terancang, selain mendakwa siasatan menemui kaitan dengan pihak asing.

“Mensasarkan aset alam sekitar dan ekonomi negara dengan membakar secara sengaja, yang kadangkala dilakukan atas dorongan pihak asing, merupakan satu bentuk pengkhianatan yang jelas serta serangan terhadap keutuhan wilayah negara,” katanya.
Undang-undang itu kini akan diteliti oleh Senat sebelum diratifikasi secara rasmi oleh Tebboune.
Kebakaran hutan kerap berlaku di utara Algeria ketika musim panas, dengan perubahan iklim memburukkan impaknya susulan kemarau yang semakin kerap serta suhu panas melampau.
Tebboune sebelum ini turut mendakwa terdapat unsur jenayah di sebalik kebakaran besar yang berlaku pada musim panas baru-baru ini.


