Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Alumni PLKN 3.0 Sertai Perbarisan Hari Kebangsaan

Alumni PLKN Sertai Hari Kebangsaan
KUALA LUMPUR, 24 Ogos -- Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal ditemui media pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 3/2026 PLKN di Kem Latihan Khidmat Negara 505 Askar Wataniah (AW), Kuala Lumpur, hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 200 alumni pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan menyertai perbarisan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini di Putrajaya.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Jeneral (B) Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal berkata peserta yang dipilih akan mula menjalani latihan di Putrajaya esok sebagai persediaan menyertai acara peringkat kebangsaan itu.

“Buat kali pertama, pelatih PLKN 3.0 akan berbaris di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, anggota Kabinet dan khalayak ramai bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan.

“Penyertaan itu selaras dengan usaha menampilkan pelatih PLKN 3.0 kepada masyarakat selain memperlihatkan hasil latihan yang diterima mereka sebagai wira muda negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pelatih PLKN 3.0 Siri 3/2026 di Kem Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) Kem 515 Askar Wataniah (AW), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Abdul Aziz berkata pada hari ini, sebanyak 795 pelatih berjaya menamatkan latihan PLKN 3.0 Siri 3/2026 yang bermula pada 11 Julai lepas melibatkan tiga Kem CLKN, iaitu 106 pelatih wanita dari Kem 504 AW, Bukit Keteri, Perlis; 442 pelatih lelaki dari Kem 505 AW, Pekan, Pahang dan 247 pelatih wanita dari Kem 515 AW, Kuala Lumpur.

Bagi siri kali ini, pelatih terbaik di Kem 504 AW ialah An’nur Najiha Muhammad, 18, dari Ipoh, Perak, Muhammad Firdaus Muhammad Said, 18, dari Kuantan, Pahang (Kem 505 AW) dan Cheyenne Alessandra Michael, 18, dari Kuala Lumpur (Kem 515 AW).

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata jumlah peserta PLKN 3.0 Siri 4/2026 akan ditingkatkan menerusi penambahan Kem CLKN termasuk dengan menggunakan pusat latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Kita akan tambah pelatih dan kita akan gunakan pusat-pusat latihan RELA. Dengan adanya pusat-pusat latihan RELA, ditambah dengan pusat-pusat latihan kita sedia ada, kita boleh melatih lebih daripada 1,000 pelatih,” katanya.

Sebelum ini, MLKN memaklumkan PLKN 3.0 Siri 4/2026 akan dilaksanakan di lima kem baharu, iaitu Kem 503 Hutan Melintang, Perak; Kem 506 Sungai Durian, Kelantan; Kem 513 Bukit Pinang, Kedah serta dua kem melibatkan pusat latihan bertaraf Institut Latihan Awam (ILA) di Sungai Petani, Kedah dan Tuaran, Sabah sebagai kem alternatif, selain tiga kem sedia ada.

Sementara itu, Cheyenne Alessandra ketika ditemui berkata beliau menyertai program itu secara sukarela kerana minat untuk menjadi anggota tentera, selain menganggap pengalaman menjalani latihan selama 45 hari sebagai pemangkin semangat patriotisme.

“Saya lebih bersemangat, lebih patriotik sebab dapat pengalaman dengan semua tentera di sini. Di sini pula kem tentera Wataniah, jadi setiap hari kami dapat melihat mereka (askar wataniah) dan situasi ini benar-benar membuka mata saya,” katanya.

Beliau berkata pengalamannya di PLKN turut menjadikannya lebih bangga dan bersyukur terhadap pengorbanan para pejuang untuk mencapai kemerdekaan negara, selain menyedari tanggungjawab generasi muda mempertahankan keamanan.

Intipati
  • Seramai 200 alumni PLKN 3.0 akan menyertai perbarisan Hari Kebangsaan di Putrajaya.
  • Peserta terpilih akan mula menjalani latihan persediaan di Putrajaya esok, menurut MLKN.
  • Sebanyak 795 pelatih PLKN 3.0 Siri 3/2026 menamatkan latihan hari ini.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan