Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Amaran Angin Kencang, Laut Bergelora Bermula Esok Hingga 18 September
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi kawasan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara.
Ini berkuatkuasa bermula 13 September (esok) hingga 18 September 2024.
Amaran itu dimaklumkan Ketua Pengarah METMalaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
“Berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di utara Semenanjung dan barat Sabah dari 13 hingga 18 September 2024.
“Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang di kawasan tersebut serta angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara,” tulis kenyataan itu.
Justeru, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini melalui laman web rasmi METMalaysia di www.met.gov.my serta media sosial rasmi.
Aplikasi myCuaca juga boleh dimuat turun untuk mendapatkan maklumat cuaca yang terkini dan sahih.
Orang awam diharapkan sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan ketika berada di luar, terutama di kawasan yang terjejas oleh keadaan cuaca buruk ini.
Dalam hantaran lain, METMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora untuk perairan Malaysia dalam lingkungan 24 batu nautika dan aktiviti perkapalan
Amaran Kategori Pertama (lingkungan 24 batu nautika)
Angin kencang barat berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Perlis dan Kedah, Pulau Pinang dan Perak dalam tempoh Ahad, 15 September hingga Rabu, 18 September 2024.
Manakala di kawasan perairan Sabah Barat dan Labuan dalam tempoh pula bermula Jumaat, 13 September sehingga Rabu, 18 September 2024.
Sehubungan itu, METMalaysia memberi amaran keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
Amaran Kategori pertama (aktiviti perkapalan)
“Angin kencang barat berkelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka di kawasan perairan utara Reef North, Palawan dalam tempoh Jumaat, 13 September sehingga Rabu, 18 September 2024.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” maklum kenyataan tersebut.
Selain itu, angin kencang barat berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Phuket, Selat Melaka Utara dalam tempoh Ahad, 15 September sehingga Rabu, 18 September 2024.
Bagi kawasan perairan Condore, selatan Reef North, Layang-Layang, Labuan dan Sulu, angin kencang barat berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter diramal berlaku bermula Jumaat, 13 September sehingga Rabu, 18 September 2024.
Sehubungan itu, keadaan ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia