Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan empat negeri serta satu Wilayah Persekutuan sehingga jam 4 petang ini.
Hujan Lebat Di Beberapa Negeri Petang Ini
Menurut kenyataan MetMalaysia, kawasan terlibat merangkumi beberapa daerah di Pahang, Johor, Sarawak, Sabah dan WP Labuan.
“Di Pahang, daerah yang diramal hujan adalah Kuantan dan Pekan. Manakala di Johor pula melibatkan kawasan Batu Pahat, Kluang, Pontian dan Kulai.
“Beralih ke Sarawak, kawasan yang diramal hujan adalah Bintulu (Tatau), Mukah (Mukah), Sibu (Selangau).
“Bagi Sabah pula, daerah yang diramal hujan adalah Tawau (Semporna, Tawau, Kunak dan Kalabakan), Pedalaman (Pensiangan, Beaufort, Kuala Penyu, Membakut, Keningau, Tambunan, Tenom dan Sook), Pantai Barat, Kudat (Kota Marudu), Sandakan (Paitan, Telupid dan Tongod).
“Selain itu, W.P. Labuan turut dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang,” menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya yang berada di kawasan terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca secara mendadak.
Orang ramai juga digalakkan mengelakkan aktiviti luar ketika ribut petir serta mengikuti perkembangan dan amaran cuaca terkini menerusi saluran rasmi MetMalaysia.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini susulan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang.
