Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ambulans Bawa Dua Pesakit Terlibat Kemalangan Di Jertih

BERNAMA
Kemalangan
Kredit: PDRM/Bernama

Ambulans Bawa Dua Pesakit Terlibat Kemalangan Di Jertih

JERTIH, 10 Jun (Bernama) -- Sebuah ambulans membawa dua pesakit terlibat dalam kemalangan di Kampung Cherang Meliling dekat Jalan Jertih-Pasir Akar di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Rozaime Ab Rahman berkata dalam kejadian pada 5 petang itu, ambulans berkenaan dalam perjalanan membawa dua pesakit lelaki yang cedera selepas terlibat kemalangan lain ke Hospital Besut.

Beliau berkata siasatan awal mendapati setibanya di lokasi kejadian, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai melintas dari bahu jalan sebelah kanan sebelum berlaku pelanggaran dengan ambulans itu.

“Akibat pelanggaran tersebut, ambulans telah hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum melanggar sebuah kereta yang diparkir hingga menyebabkan kenderaan tersebut terjatuh ke dalam longkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rozaime berkata selain dua pesakit berkenaan, individu lain yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kedua-dua pesakit telah dipindahkan dengan ambulans lain dan dihantar ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi Balai Polis Trafik IPD Besut di talian 09-6972700 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Selain itu, beliau turut menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan serta memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan yang sedang menjalankan tugas.

Sumber:BERNAMA