Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menyindir PAS yang didakwanya masih mengamalkan budaya politik ‘mengalih tiang gol’ apabila terus mempertikaikan waktu pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH).
Muhammad Kamil berkata, pembangkang dilihat tidak berminat membahaskan kandungan laporan tersebut, sebaliknya hanya mempersoalkan mengapa ia didedahkan pada waktu ini.
“Apabila kerajaan membentangkan dapatan RCI Tabung Haji baru-baru ini, mereka tidak berminat untuk membahaskan kandungan di dalam laporan tersebut.
“Sebaliknya, dipersoalkan pula mengapa ia didedahkan sekarang. Kalau pun didedahkan lebih awal, mungkin mereka akan kata tergesa-gesa. Begitulah wajah dan kualiti PAS sebagai pembangkang hari ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, persoalan mengenai masa yang sesuai untuk mendedahkan laporan itu tidak akan berpenghujung sekiranya setiap keputusan kerajaan terus dipertikaikan.
“Sebenarnya, bila waktu yang dianggap sesuai oleh Pasir Mas? Selepas PRN Sabah? Sebelum PRN Johor? Selepas selesai PRN Negeri Sembilan? Atau mungkin sebelum PRN Sarawak?
“Atau selepas PRN Melaka? Mungkin tunggu sahaja selesai PRU-16? Hakikatnya, bila pun laporan ini didedahkan, watak seperti beliau tidak akan berpuas hati,” ujarnya.
Muhammad Kamil berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang dipercayai terbabit dalam isu berkenaan telah dimulakan apabila beberapa tangkapan dibuat dan proses pendakwaan akan diteruskan.
“Bagi pihak legislatif pula, ruang telah dibuka sepenuhnya untuk membahaskan laporan ini di Dewan Rakyat.
“Harapnya Pasir Mas yang bergeliga ini akan mengambil bahagian dalam sesi tersebut dengan membentangkan hujah-hujah yang benar-benar berkualiti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengurusan Tabung Haji sebelum ini sendiri memohon supaya laporan RCI berkenaan tidak didedahkan sejurus selepas siasatan selesai kerana bimbang terhadap implikasinya kepada keyakinan pendeposit serta kestabilan institusi berkenaan.
Menurutnya, keadaan Tabung Haji kini semakin pulih apabila kembali mencatat keuntungan, selain nilai asetnya telah mengatasi jumlah liabiliti.