Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

26 Pertuduhan Nicky Liow Ditarik Balik Selepas Bayar Kompoun RM10 Juta - AGC

Pertuduhan Nicky Liow Ditarik
Kredit: Bernama

26 Pertuduhan Nicky Liow Ditarik Balik Selepas Bayar Kompoun RM10 Juta - AGC

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan keputusan menarik balik 26 pertuduhan terhadap ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee dibuat selepas beliau membayar kompaun RM10 juta pada Mei 2023.

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan Liow melalui peguamnya Tetuan Rajpal, Firah & Vishnu telah mengemukakan surat representasi bertarikh 15 Dis 2022 dan 6 April 2023 kepada jabatan itu memohon agar kesemua 26 pertuduhan terhadapnya dikenakan kompaun di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 [Akta 613].

Menurut AGC, surat-surat representasi berkenaan telah diteliti dan dikaji dengan terperinci, dan berdasarkan keseluruhan keterangan sedia ada serta penilaian dan pertimbangan pendakwaan, jabatan itu bersetuju untuk menawarkan kompaun berjumlah RM10 juta.

“Jumlah itu telah dipersetujui oleh Liow dan telah dibayar pada 29 Mei 2023. Selain pembayaran RM10 juta itu, penyelesaian ini juga merangkumi pelucuthakan bon berjumlah RM647,366 dan pelucuthakan harta-harta yang disita.

“Lanjutan daripada pembayaran kompaun itu, selaras dengan peruntukan Seksyen 92 Akta 613, jabatan ini telah menarik balik pertuduhan terhadap Liow. Pada 15 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam telah memerintahkan agar Liow dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan AGC itu merujuk kepada artikel bertajuk “30 CSOs urge AG to explain DNAA for Nicky Liow” yang diterbitkan oleh FMT bertarikh 5 Ogos 2026.

Menurut AGC, keputusan yang diambil itu adalah selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

“Ia juga telah dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan keterangan daripada hasil siasatan secara keseluruhan tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam dengan mengambil kira integriti proses pendakwaan serta keperluan untuk memastikan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah,” menurut kenyataan itu.

AGC turut menegaskan Liow tidak pada bila-bila masa dilepaskan tanpa sebarang tindakan undang-undang.

Menurut AGC, pada 12 April 2022, Liow telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 26 pertuduhan bagi kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 AMLATFPUAA 2001.

Kes itu telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 6 dan 31 Julai 2023, 1 hingga 3 Ogos 2023, 7 hingga 10 Ogos 2023 dan 25 hingga 27 Sept 2023.