Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Boleh Ke Majikan Buang Pekerja Yang Gagal Dihubungi Ketika Cuti?
Bila bercakap tentang pekerja yang tidak dapat dihubungi ketika waktu cuti, sudah pasti setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza.
Ada yang mungkin berpendapat waktu cuti adalah hak pekerja, jadi majikan tidak sepatutnya menghubungi mereka.
Namun, ada juga yang mungkin beranggapan pekerja masih boleh dihubungi sekiranya berlaku situasi penting ketika hari cuti.
Tapi, tahukah anda, pada tahun 2007, pernah berlaku satu kes di mana seorang pekerja gagal dihubungi ketika hari cuti sehingga menyebabkan majikannya mengambil keputusan untuk membuang pekerja tersebut?
Kisah ini dikongsikan oleh Khairul Atlas atau nama penggunanya, @khairulatlas di Threads.
Beliau berkongsi mengenai seorang pekerja yang gagal dihubungi oleh majikannya pada hari Sabtu dan Ahad.
Pekerja tersebut mula bekerja dengan syarikat berkenaan sejak tahun 1998 dengan menerima gaji sebanyak RM1,200. Kemudian, gaji pekerja tersebut dinaikkan kepada RM1,500 pada tahun 2000.
Walaupun kontrak pekerjaan menyatakan beliau diambil bekerja secara bulanan, Mahkamah tetap mengambil kira tempoh perkhidmatan beliau yang telah berkhidmat selama kira-kira lima tahun bersama syarikat berkenaan.
Menurut Khairul, pada awal tempoh perkhidmatannya, pekerja tersebut bekerja dari Isnin hingga Sabtu.
Bagi Isnin hingga Jumaat, waktu operasi adalah dari 8 pagi hingga 6 petang, manakala pada Sabtu pula dari 8 pagi hingga 3 petang.
Namun, pada 2 Mei 2003, pekerja tersebut diberikan waktu bekerja baharu iaitu dari Isnin hingga Jumaat, bermula 9 pagi hingga 6 petang.
Menurut pekerja tersebut, tiada sesiapa yang memaklumkan kepadanya bahawa dia masih perlu bekerja pada hari Sabtu dan dia menyangka waktu kerjanya kini mengikut waktu operasi pejabat.
Oleh itu, pekerja tersebut mengambil keputusan untuk pulang ke kampung pada pagi Sabtu.
Oleh kerana kawasan kampungnya tidak mempunyai liputan telefon yang baik, maka dia tidak dapat menerima sebarang notifikasi pada hari Sabtu dan Ahad.
Susulan kejadian tersebut, majikan telah membawa pekerja itu ke Siasatan Dalaman atas dua pertuduhan iaitu gagal hadir bekerja pada hari Sabtu tanpa memaklumkan kepada majikan.
Manakala pertuduhan kedua pula melibatkan isu gagal dihubungi melalui telefon pada hari Sabtu dan Ahad walaupun telah diingatkan supaya memastikan telefonnya sentiasa boleh dihubungi.
Hasil daripada siasatan berkenaan, pekerja itu kemudian telah dibuang kerja oleh majikannya.
Apabila kes itu dibawa ke Mahkamah Perusahaan, majikan tidak hadir untuk mempertahankan keputusan tersebut dan tiada saksi daripada pihak majikan dipanggil.
Selain itu, rekod Siasatan Dalaman juga tidak dikemukakan bagi membuktikan semula pertuduhan yang dikenakan.
Dalam kes pembuangan kerja, keputusan Siasatan Dalaman sahaja tidak mencukupi kerana majikan masih perlu membuktikan wujudnya salah laku tersebut di Mahkamah.
Di Mahkamah pula, pekerja tersebut menjelaskan bahawa dia berada di kampung dan kawasan berkenaan tidak mempunyai liputan telefon.
Mahkamah turut mengambil kira bahawa hari Ahad sememangnya merupakan hari rehat pekerja.
Tanpa bukti yang menyangkal penjelasan tersebut, Mahkamah menganggap alasan yang diberikan adalah munasabah.
Di samping itu, majikan juga gagal menjelaskan mengapa hukuman paling berat, iaitu pembuangan kerja, dikenakan terhadap pekerja tersebut.
Majikan gagal membuktikan pertuduhan terhadap pekerja tersebut berdasarkan imbangan kebarangkalian. Oleh itu, keputusan pembuangan kerja itu diketepikan.
Namun, disebabkan pekerja tersebut telah mendapat pekerjaan lain, Mahkamah tidak memerintahkan pengambilan semula.
Sebaliknya, pekerja berkenaan menerima upah tertunggak sebanyak RM18,000 (RM1,500 x 12 bulan) serta pampasan gantian pengambilan semula sebanyak RM7,500 (RM1,500 x 5 tahun), menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM25,000.
Bagaimanapun, Khairul menjelaskan bahawa keputusan kes yang berlaku pada tahun 2007 ini adalah berdasarkan fakta kes dan peruntukan undang-undang yang terpakai pada ketika itu.
Kes ini menunjukkan bahawa isu pekerja tidak dapat dihubungi ketika waktu cuti tidak boleh dilihat secara hitam putih.
Sebaliknya, setiap kes perlu dinilai berdasarkan fakta, bukti yang dikemukakan serta keadaan yang berlaku pada ketika itu.