Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jeritan Misteri Dari Apartmen, Bunyi Minta Tolong Atau Sekadar Ilusi?

Jeritan Misteri Dari Apartmen
Kredit: Threads pokerfac3dai

Jeritan Misteri Dari Apartmen, Bunyi Minta Tolong Atau Sekadar Ilusi?

Baru-baru ini, tular di Threads perkongsian seorang individu yang mendakwa dia dan isterinya terdengar bunyi pelik dari bilik utiliti berhampiran apartmen mereka.

Menurut pasangan tersebut, bunyi itu kedengaran seperti suara seseorang yang mulutnya diikat dan sedang menjerit meminta bantuan.

Bimbang jika benar ada individu yang berada dalam bahaya, lelaki berkenaan bersama isterinya mengambil beberapa langkah untuk memastikan sama ada bunyi tersebut benar-benar datang daripada seseorang yang memerlukan pertolongan atau sekadar berpunca daripada sistem paip bangunan.

Selain membuat laporan kepada pihak pengurusan bangunan, lelaki tersebut turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Situasi seperti ini sebenarnya bukan kali pertama mencetuskan kebimbangan orang ramai. Di Singapura, satu kejadian hampir serupa pernah berlaku apabila penduduk di sebuah kawasan perumahan sering terdengar bunyi jeritan misteri.

Singapura: Jeritan Misteri Yang Akhirnya Bukan Kes Jenayah

Pada tahun 2025, seorang penulis menerima mesej daripada seorang individu yang mendakwa kawasan perumahannya sering bergema dengan bunyi jeritan setiap hari. Individu tersebut turut berkongsi rakaman audio sebagai bukti.

Berasa ragu-ragu dengan cerita itu, penulis berkenaan mengambil keputusan untuk menyiasat sendiri dengan pergi ke lokasi tersebut.

Ketika tiba di kawasan perumahan berkenaan, suasananya kelihatan seperti biasa dengan bunyi kenderaan, burung serta kanak-kanak bermain. Namun, tidak lama kemudian, dia terdengar bunyi jeritan yang sama seperti rakaman yang diterimanya.

Penulis tersebut kemudiannya cuba menjejaki punca suara itu sebelum mendapati jeritan tersebut datang daripada seorang lelaki yang sedang mencangkung di atas tanah.

Tidak lama selepas itu, seorang pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) tiba di lokasi dan membantu menenangkan lelaki tersebut sebelum dia beredar seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Hasil siasatan lanjut mendapati penduduk di kawasan tersebut sebenarnya sudah biasa dengan situasi berkenaan. Menurut mereka, lelaki itu mempunyai ketidakupayaan intelek dan jeritannya bukan berpunca daripada sebarang kejadian jenayah.