Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Muhammad Raimi Berhasrat Pulang Bercuti Ke Kampung Hujung Bulan Ini - Bapa
DUNGUN, 7 Ogos (Bernama) -- Penantian ibu bapa Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee menyambut kepulangannya bercuti di kampung hujung bulan ini tidak kesampaian apabila anggota polis itu maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik semalam.
Ismarubee Ismail, 51, dan isteri Nor Azila Zakaria 46, berkata pada Jun lepas, Muhammad Raimi yang bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah memaklumkan hasrat untuk mengambil cuti namun belum menetapkan tarikh kerana menunggu harga tiket penerbangan yang berpatutan.
“Saya menerima panggilan telefon daripada rakan anak memaklumkan anak meninggal dunia pada 6 petang semalam. Saya seperti tidak percaya kerana dia ada berkongsi kejayaan tangkapan kes dadah menerusi WhatsApp pada 2 petang,” kata Ismarubee ketika ditemui di kediamannya di Felda Kerteh 2, di sini hari ini.
Ismarubee yang bekerja sebagai buruh berkata anak kedua daripada tiga beradik itu mula bertugas di balai polis tersebut pada September 2024 dan kali terakhir pulang bercuti di kampung pada Januari lepas.
Sementara itu, Nor Azila berkata Muhammad Raimi ada menyatakan hasrat hendak bertunang dengan kenalan wanitanya yang berasal dari Sabah pada tahun hadapan.
“Bagaimanapun, dia mahu tunggu adik bongsunya selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum berumah tangga kerana ingin memberikan tumpuan kepada adiknya.
“Dia anak yang baik. Apa sahaja keperluan pelajaran adiknya seperti komputer riba turut dibeli selain mengirim duit kepada kami dan adiknya hampir setiap bulan,” katanya.
Wanita itu berkata jenazah anaknya akan dihantar pulang oleh pasukan polis dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh 2 hari ini.
Semalam, Muhammad Raimi, 26, dan dua anggota balai polis itu Koperal Chiu Teck Siong, 40, serta Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, maut dipercayai akibat renjatan elektrik ketika mengalihkan galah besi yang digunakan untuk mengait kelapa di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Weston.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan