Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rupanya Latih Kucing Lagi Mudah Dari Yang Ramai Sangka!

Latih Kucing Mudah
Kredit: Fear Free, Happy Homes

Rupanya Latih Kucing Lagi Mudah Dari Yang Ramai Sangka!

Ramai orang anggap kucing memang susah nak dilatih. Biasalah, mereka ada perangai sendiri. Sekejap manja, sekejap buat tak tahu.

Tapi sebenarnya, kucing juga boleh diajar pelbagai perkara seperti duduk atas arahan, berjalan menggunakan tali, malah datang apabila dipanggil.

Melatih kucing bukan sekadar mengajar mereka buat 'trick', tapi bagus juga untuk kesihatan fizikal dan mental mereka.

Selain itu, ia juga boleh mengeratkan hubungan antara anda dan si bulus. Bonusnya, perabot rumah pun mungkin lebih selamat daripada jadi mangsa cakar.

Berbeza dengan anjing, kucing ada cara mereka sendiri. Walaupun ada cabarannya, jangan risau. Dengan cara yang betul, melatih kucing sebenarnya tidaklah sesukar yang ramai sangka.

Namun, ada caranya jika mahu melatih kucing. Tak macam anjing, kucing lebih selesa berdikari dan tak begitu kisah untuk memuaskan hati manusia.

Jadi, apa yang membuatkan kucing mahu belajar?

Menurut pakar latihan dan tingkah laku kucing, Molly DeVoss, kebanyakan kucing hanya berminat kepada tiga perkara, iaitu perhatian daripada pemilik, waktu bermain, dan makanan.

Dan daripada ketiga-tiga itu, makanan ialah motivasi paling berkesan.

Sebab itu, bila nak latih kucing, pastikan pilih snek kegemaran mereka. Sebab itulah ganjaran memainkan peranan penting ketika melatih kucing.

Tak kira teknik apa yang digunakan, sabar, guna pendekatan yang positif dan sediakan ganjaran yang kucing suka adalah penting.

Cara Mudah Melatih Kucing

Positive Reinforcement

Ini merupakan teknik paling mudah.

Konsepnya ringkas. Bila kucing melakukan sesuatu yang anda mahukan, terus beri ganjaran. Lama-kelamaan mereka akan faham bahawa tingkah laku tersebut akan menghasilkan sesuatu yang menyeronokkan, lalu mereka akan mengulanginya.

Clicker Training

Teknik ini menggunakan alat kecil yang mengeluarkan bunyi "klik". Bunyi itu menjadi isyarat bahawa kucing baru sahaja melakukan perkara yang betul.

Sebagai contoh, ketika mengajar arahan "duduk", tekan clicker sebaik sahaja punggung kucing menyentuh lantai, kemudian terus berikan ganjaran.

Dengan cara ini, mereka lebih mudah memahami tingkah laku mana yang sedang diberi penghargaan.

Gunakan Pujian Sebagai Isyarat

Kalau tiada clicker, anda juga boleh menggunakan suara sendiri.

Pilih satu perkataan seperti "Bagus!", "Yes!" atau apa sahaja yang konsisten. Sebaik sahaja kucing melakukan perkara yang betul, sebut perkataan itu dan terus beri ganjaran.

Lama-kelamaan, mereka akan mengaitkan perkataan tersebut dengan sesuatu yang positif dan lebih mudah memahami apa yang anda mahukan.

Sebelum mula mengajar kucing, jangan terus fikir mereka akan ikut setiap arahan macam anjing. Kucing ada 'mood' sendiri. Kalau hari itu mereka tak berminat, memang susah nak paksa.

Fahami Mood Kucing

Perhatikan bahasa badan mereka terlebih dahulu. Kalau kucing nampak santai, selesa dan berminat, itu masa terbaik untuk memulakan latihan.

Sebaliknya, kalau mereka sedang tidur, takut atau menjauhkan diri, tangguhkan dulu sesi latihan. Memaksa hanya akan membuatkan mereka hilang minat.

Ingat, latihan sepatutnya menyeronokkan untuk kedua-dua pihak.

Pilih Masa Yang Sesuai

Masa paling sesuai ialah sebelum waktu makan.

Bukan sebab nak biarkan mereka lapar, tetapi ketika itu mereka lebih bermotivasi untuk mendapatkan snek sebagai ganjaran.

Satu lagi tip penting, potong snek kepada saiz yang kecil. Dengan cara ini, anda boleh memberi lebih banyak ganjaran tanpa membuatkan mereka cepat kenyang.

Beri Ganjaran Dengan Segera

Timing sangat penting. Sebaik sahaja kucing melakukan perkara yang betul, terus beri pujian, gunakan clicker atau berikan snek.

Kalau anda tunggu terlalu lama, mereka mungkin tak faham apa sebenarnya yang menyebabkan mereka mendapat ganjaran. Akhirnya, mereka jadi keliru dan hilang minat untuk terus belajar.

Fokus Pada Satu Arahan Sahaja

Jangan ajar semuanya sekali gus. Hari ini ajar "duduk", esok pula "datang". Tunggu sehingga mereka benar-benar mahir sebelum memperkenalkan arahan baharu.

Sesi latihan juga tak perlu lama. Beberapa minit setiap kali sudah memadai.

Tak perlu tergesa-gesa melatih kucing. Ada kucing yang belajar dalam beberapa hari, ada juga yang mengambil masa berminggu-minggu.

Yang penting, kekal konsisten, berikan ganjaran dan bersabar. Lama-kelamaan, si bulus anda pasti mampu mempelajari pelbagai arahan serta menjadi teman yang lebih mudah diurus.

Intipati
  • Kucing boleh dilatih dengan arahan mudah menggunakan pendekatan positif dan ganjaran sesuai.
  • Makanan, perhatian pemilik dan waktu bermain menjadi motivasi utama dalam latihan kucing.
  • Latihan lebih berkesan apabila sesi singkat, konsisten dan mengikut mood kucing.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan