Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pengumuman 15 inisiatif baharu bernilai RM209.26 juta oleh Kerajaan Negeri Selangor disifatkan sebagai bukti komitmen pentadbiran negeri dalam melindungi kebajikan rakyat ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, langkah yang diumumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari itu memperlihatkan pendekatan proaktif kerajaan negeri dalam menangani kesan peningkatan kos sara hidup, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan ekonomi antarabangsa.
Menurut beliau, kepimpinan yang bertanggungjawab bukan sekadar mengenal pasti masalah, sebaliknya berani tampil dengan penyelesaian yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Pakej yang diumumkan ini bukan sekadar bantuan jangka pendek, tetapi merupakan pelan menyeluruh bagi memastikan rakyat, usahawan, penjawat awam dan sektor ekonomi negeri mempunyai daya tahan yang lebih kukuh dalam menghadapi cabaran semasa,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.
Danish berkata, antara inisiatif paling signifikan ialah pemberian moratorium selama tiga bulan kepada 1,012 penyewa Program Smart Sewa Selangor yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2.22 juta.
Katanya, langkah itu memberi ruang pernafasan kewangan kepada ramai keluarga yang sedang berdepan peningkatan kos sara hidup.
Selain itu, beliau turut menyambut baik pengumuman moratorium tiga bulan bagi bayaran balik pinjaman perumahan melibatkan 2,333 penjawat awam negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM2.54 juta.
Menurutnya, kebajikan penjawat awam perlu terus dipelihara memandangkan golongan itu merupakan tulang belakang kepada sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Dalam masa sama, beliau berkata peruntukan RM100 juta bagi memperluaskan Program Selangor Advance (SA500) dilihat mampu membantu meningkatkan aliran tunai syarikat, kontraktor dan perusahaan yang terlibat dalam projek kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Jelasnya, langkah itu penting bagi memastikan aktiviti ekonomi terus bergerak, peluang pekerjaan dapat dikekalkan dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Selangor terus kukuh.
Danish turut menyambut baik pelaksanaan Dana Pantas Usahawan berjumlah RM20 juta yang menyediakan pembiayaan tanpa faedah sehingga RM10,000 kepada usahawan kecil.
Katanya, bantuan itu mampu menjadi pemangkin kepada kelangsungan perniagaan selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu.
Pada masa sama, beliau berkata pengurangan kadar sewa premis PBT sebanyak 30 peratus selama enam bulan yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 21,000 peniaga kecil membuktikan kerajaan negeri memahami cabaran yang dihadapi golongan tersebut.
Beliau turut memuji peruntukan bagi program transisi kerjaya dan peluang pekerjaan baharu yang disifatkan bukan sahaja menawarkan bantuan segera, malah menyediakan laluan pemulihan ekonomi kepada rakyat yang terkesan akibat ketidaktentuan pasaran buruh.
“Ketika ada pihak masih memilih untuk memainkan sentimen politik, Selangor memilih untuk bekerja dan menawarkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, sebagai negeri penyumbang terbesar kepada ekonomi negara, Selangor sekali lagi membuktikan kekuatan ekonomi negeri perlu diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai secara langsung oleh rakyat menerusi bantuan, perlindungan sosial dan peluang ekonomi yang lebih luas.