Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hotel Sri Manja, Kuantan menjelaskan bahawa premis itu telah memiliki sijil halal sepanjang 13 tahun beroperasi sebelum ini.
Menerusi satu notis awam yang dimuat naik di Facebook hari ini, pihak pengurusan memaklumkan penarikan sijil halal baru-baru ini berkait dengan beberapa aspek pematuhan dan kebersihan yang memerlukan penambahbaikan.
Menurut hotel berkenaan, tindakan pembetulan telah diambil sejurus isu tersebut dibangkitkan.
“Kami memahami kekeliruan dan kebimbangan yang timbul berikutan status sijil halal Sri Manja Hotel.
“Sejurus selepas perkara tersebut dibangkitkan, pihak pengurusan telah mengambil tindakan pembetulan serta-merta dan langkah-langkah penambahbaikan yang diperlukan telah dilaksanakan.
“Sepanjang 13 tahun beroperasi dengan pensijilan halal, Sri Manja Hotel sentiasa komited dalam mematuhi keperluan halal, keselamatan makanan dan standard kebersihan yang ditetapkan,” menurut notis itu.
Menurut kenyataan sama, walaupun kini sedang dalam proses permohonan semula sijil halal, operasi hotel itu tetap dijalankan mengikut prosedur serta garis panduan halal yang ditetapkan.
Terdahulu, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerusi satu pemakluman rasmi memaklumkan bahawa permohonan rayuan penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia milik Syarikat Seri Manja Hotel Sdn Bhd telah ditolak.
Menurut JAIP, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Pengesahan Halal Negeri Pahang Darul Makmur Bilangan 2/2026.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berkuasa dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat.