Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kerajaan digesa memberi penjelasan segera berhubung status pelaksanaan projek Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) di Johor termasuk tarikh perjanjian kerjasama awam-swasta (PPP) dimeterai, tarikh pembinaan dimulakan dan jangkaan operasi sistem itu.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, keperluan untuk melaksanakan e-ART di Johor kini semakin mendesak memandangkan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dijangka mula beroperasi dalam tempoh kira-kira enam bulan lagi.
Menurut beliau, RTS itu dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam dan keadaan itu berisiko memburukkan lagi kesesakan lalu lintas di pusat bandar Johor Bahru sekiranya sistem pengangkutan awam sokongan seperti e-ART tidak disiapkan dalam tempoh sewajarnya.
“Bahagian paling pelik dalam kenyataan kamu ialah apabila kamu berkata, ‘lebih penting, Johor sudah mempunyai RTS yang sedang dalam pembinaan dan hampir siap’.
“Sebab utama Johor perlukan e-ART ialah kerana RTS sudah hampir siap,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Ka Siong berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang mempertahankan pemberian projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang, selain menyentuh status projek e-ART di Johor.
Beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mempertikaikan hak Pulau Pinang untuk memiliki sistem pengangkutan awam moden dan lengkap.
Sebaliknya, katanya, beliau hanya mahu keperluan Johor diberikan perhatian serta keutamaan yang sama oleh Kerajaan Persekutuan.
Dalam masa sama, Ka Siong turut mempersoalkan kelewatan pelaksanaan projek e-ART yang didakwanya kini berada di bawah seliaan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjawab tiga persoalan utama iaitu bilakah perjanjian PPP akan dimeterai, bila pembinaan akan bermula dan bilakah sistem itu dijangka mula beroperasi.
Beliau turut berpandangan bahawa cadangan supaya Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan sebanyak RM10 bilion kepada Kerajaan Negeri Johor bagi melaksanakan projek itu sendiri adalah wajar sekiranya masih wujud ketidakpastian mengenai tahap kesegeraan dan status sebenar projek tersebut.
“Kalau kamu benar-benar anak Johor, berdirilah bersama saya untuk menuntut perkara ini demi Johor.
“Jangan nafikan hak Johor semata-mata kerana kamu mahu mempertahankan bos parti kamu,” katanya.