Kecil kecil lagi sudah petah bertutur dalam bahasa Arab.
Kebolehan Rina, anak kepada pasangan pempengaruh terkenal Maryam DurianKimchi dan Ryzal Ibrahim, mencuri perhatian pengguna media sosial selepas gelagatnya bercakap dalam bahasa berkenaan dikongsikan ibunya.

Lebih mencuit hati, perkongsian itu turut disertai reaksi teruja Maryam yang berasal dari Korea Selatan. Ibu kepada Rina itu secara berseloroh mengakui dirinya masih berusaha memperbaiki penguasaan bahasa Melayu, sedangkan anaknya sudah menunjukkan kebolehan bertutur dalam bahasa Arab.
“Aku baru nak pandai cakap Melayu, sekali Rina dah cakap bahasa Arab,” tulis Maryam menerusi akaun Threads miliknya, @maryamyunrrr.
Perkongsian yang disertakan video gelagat Rina itu mendapat sambutan pengguna media sosial apabila meraih lebih 488,000 tontonan dan 29,000 tanda suka ketika tangkap layar dibuat.
Meninjau ruangan komen, rata rata pengguna meluahkan rasa kagum dengan kebolehan Rina yang didedahkan kepada beberapa bahasa sejak kecil, termasuk bahasa Melayu, Korea, Inggeris dan Arab.
Ada juga yang mengambil kesempatan berseloroh mengenai situasi Maryam yang seolah olah perlu kembali menjadi pelajar untuk mengikuti perkembangan bahasa anaknya.
“Semempat lagi ‘we going up’,” komen eneffeff.
“Tiba tiba jadi pelajar semula, Maryam,” seloroh helloameline_.
“Pandai Rina ajar Oma Maryam bahasa Arab. Bijak Rina ini,” tulis roslinaabdulmajid.
“‘Mana hantar?’ Comelnya,” komen ichiro0611.
“Maknya baru lulus bahasa Melayu, ini nak mengejar Rina pula,” seloroh jannahsufaat.

