KUALA LUMPUR: Usahawan dan pempengaruh terkenal, Anas Zahrin menerusi jenama miliknya, ANAS Cosmetics meledak lagi semalam (10 November) apabila memenangi dua anugerah selain mencatat jualan mencecah RM1.3 juta di TikTokShop Creater ICON ALLSTAR 11.11 Showdown.
Dua anugerah diterimanya ialah Creator Icon All Star 11.11 - Top All Star Creator dan Creator Icon All Star 11.11 - RM 1 Million Milestones.

Kejayaan itu terus menjadi pelengkap sekali gus mengukuhkan profil diri jenama terkenal milik Anas Zahrin itu sejak dibina hampir sedekad lalu.
Kata jejaka pemurah kelahiran Kota Tinggi, Johor itu dia berjaya meraih kutipan lebih RM1 juta itu menerusi satu sesi ‘live’ tanpa henti selama 11 jam itu.
Turut serta dalam acara sama ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Aliff Syukri, Datuk Seri Vida, Neelofa, Fattah Amin, Amira Othman, Wawa Zainal, Nur Fazura, Diana Danielle, Datuk Seri Alha Alfa, Nur Fazura dan ramai lagi.


“Sesi jualan itu membabitkan lebih 13 juta unit membabitkan barangan saya seperti lipmatte, pembayang mata, pelembab bibir dan minyak wangi. Ia sekali gus menjadikan jenama milik saya kekal di tangga teratas.
“Sesi jualan itu membabitkan harga tak masuk akal dari serendah RM RM1.11 hingga harga kombo mega RM18.90 untuk lapan jenis barangan.
“Saya juga beruntung kerana sesi jualan langsung sepanjang 11 jam itu turut dibantu hos ‘live’ seperti Ashhry Atan, Fara Dina, Ann Zaira dan Yulia. Tak lupa pasukan kerja belakang tabir, ANAS Cosmetics .Terima kasih kerana turut serta memeriahkan acara ini,” kata Anas.
Sebelum ini, media melaporkan jenama berkenaan disenaraikan masih kebal sebagai TikTok Shop di tangga nombor satu di Malaysia menewaskan jenama tempatan lain dengan jualan hampir 12 juta unit.
Kejayaan itu seperti dilaporkan dalam platform dalam talian, Echotix Blog bertarikh 18 Julai lalu yang sering berkongsi data, berita, tips, strategi untuk platform TikTik dan penjanaan kewangan.
“Saya hanya mampu memanjat Syukur dengan setiap kejayaan diraih saban waktu. Moga kejayaan ini semua tidak pernah mengubah diri saya ke arah tidak baik.
“Malah harapan saya semoga kejayaan sebegini akan kekal mengingatkan saya untuk sentiasa berpijak di bumi nyata. Besar harapan saya untuk melihat jenama bumiputera milik sendiri dan lain untuk terus bersaing secara positif dan mampu menandingi jenama antarabangsa,” Katanya.
