Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Selepas hampir sedekad mewarnai industri muzik tempatan dengan pelbagai karya yang mencuri perhatian, Andi Bernadee akhirnya merealisasikan impiannya menerusi pelancaran album sulung berjudul Ding Geding. Menampilkan 12 buah lagu dengan pelbagai tema dan emosi, Ding Geding menjadi refleksi perjalanan hidup, pengalaman serta perkembangan seni Andi sebagai seorang penyanyi dan penulis lagu.
Menurut Andi, album ini boleh digambarkan sebagai “permulaan satu rentak” yang menghimpunkan pelbagai perasaan dan pengalaman dalam satu karya. “Album ini ada momen seronok, kecewa, bingung dan bahagia. Semua emosi itu ada dalam satu album kerana itulah realiti kehidupan sebenar. Emosi manusia sentiasa berubah-ubah dan saya mahu pendengar merasai perjalanan tersebut bersama saya,” katanya.

Salah satu lagu yang paling memberi kesan mendalam kepada Andi ialah Seksa Jiwa, sebuah lagu berentak soul ballad yang mencabar dirinya untuk keluar daripada zon selesa. Genre tersebut bukanlah kebiasaan buat Andi, namun proses menghasilkan lagu itu akhirnya menjadikan ia antara karya kegemarannya dalam album ini.
“Menyiapkan Seksa Jiwa bukan sesuatu yang mudah kerana rentak itu bukan makanan saya. Tetapi apabila lagu itu siap sepenuhnya, ia menjadi antara lagu kegemaran saya dalam album ini. Lagu itu benar-benar memberi kesan apabila didengari seorang diri,” jelasnya.
Menerusi Ding Geding, Andi turut memperkenalkan sisi dirinya yang lebih berani bereksperimen dan terbuka untuk mencuba perkara baharu dalam muzik. Walaupun masih mengekalkan identiti yang dikenali peminat, beliau percaya album ini menunjukkan perkembangan dirinya sebagai seorang pengkarya.

Nama Ding Geding pula diinspirasikan daripada sebuah babak ikonik dalam filem klasik Melayu Ahmad Albab, melibatkan watak anak jin yang menyebut frasa “berding-geding”. Daripada inspirasi tersebut, Andi mula membentuk idea untuk menghasilkan karya yang bersifat playful, mudah melekat dalam ingatan dan mampu mencipta pengalaman mendengar yang menyeronokkan. “Saya mahu sesuatu yang apabila orang dengar, mereka terus tertarik dan tertanya-tanya. Sama seperti album ini, setiap lagu mempunyai warna dan identitinya yang tersendiri,” katanya.

Pelancaran album ini turut membawa makna yang cukup besar buat Andi selepas ia terpaksa ditangguhkan sebelum ini akibat masalah kesihatan yang dihadapinya. Sepanjang tempoh tersebut, beliau berdepan pelbagai cabaran termasuk gangguan kesihatan fizikal dan mental, namun tetap meneruskan proses rakaman serta penghasilan album.
“Sejujurnya saya rasa sangat lega dan bersyukur. Saya menunggu selama sembilan tahun untuk menghasilkan album pertama dan akhirnya impian itu menjadi kenyataan. Saya pernah melalui fasa di mana suara tidak keluar dan badan menggeletar, tetapi saya tetap ke studio dan meneruskan perjuangan selagi ada kudrat,” katanya.

Pengalaman tersebut turut mengubah perspektif Andi terhadap kehidupan dan kerjayanya sebagai seorang anak seni. Baginya, proses dan perjalanan yang dilalui kini lebih bermakna berbanding hanya memberi fokus kepada hasil akhir semata-mata.
Melalui Ding Geding, Andi berharap setiap lagu yang dihasilkan mampu menjadi teman kepada para pendengar dalam apa jua situasi yang sedang mereka lalui. “Saya harap selepas mendengar album ini, mereka akan rasa bahawa mereka tidak keseorangan. Jika ada mana-mana lagu yang boleh menjadi teman, memberi semangat atau membuatkan mereka rasa difahami, itu sudah sangat bermakna untuk saya sebagai seorang pengkarya.”

Album “Ding Geding” kini boleh mula didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 5 Jun 2026.
Kekal mengikuti perkembangan terkini dengan Andi Bernadee di media sosialnya.
Instagram : @andibernadee
TikTok : @andibernadee2020
YouTube : @andibernadee