Keluarga kanak-kanak perempuan berusia dua tahun 10 bulan, Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular di media sosial bahawa anjing yang menyerangnya merupakan haiwan peliharaan atau milik keluarga.
Bapa saudara mangsa, Shahrizal Mohd Hanafiah berkata, penafian itu dibuat susulan pelbagai dakwaan yang mengaitkan keluarga mereka dengan pemilikan anjing berkenaan.
Menerusi hantaran di Threads, Shahrizal menjelaskan anjing tersebut bukan milik keluarga, sebaliknya merupakan zuriat anjing pemburu yang dilahirkan di kawasan semak berhampiran kebun sebelum dibiarkan hidup seperti haiwan lain di kawasan berkenaan.
“Kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ini. Sekali lagi saya tegaskan, anjing tersebut adalah zuriat anjing pemburu.
“Dilahirkan di semak kebun, dibiarkan hidup seperti mana haiwan lain seperti babi hutan, monyet liar dan lain-lain,” katanya.

Shahrizal turut mempersoalkan naratif yang mengaitkan keluarga mangsa dengan pemilikan anjing terbabit.
“Adakah membiarkan anjing tersebut hidup bermaksud kami memilikinya? Kenapa perlu wujud naratif untuk menyalahkan keluarga mangsa?” tulisnya.
Dalam pada itu, beliau berkata keluarga menghormati usaha pihak yang memperjuangkan kebajikan serta nasib haiwan.
Namun, katanya, buat masa ini semua pihak diminta menghormati keadaan Nur Haira Wafiqah yang kini sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Kami menghormati perjuangan membela nasib haiwan. Namun untuk saat dan ketika ini, saya sangat memohon supaya hormatilah adik Haira yang sedang bertarung nyawa di ICU dan jaga perasaan Abi dan Umi adik Haira.
“Hentikan spekulasi dan tuduhan tak berasas. Ujian mereka dah cukup besar. Saya merayu sangat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Nur Haira Wafiqah diserang lima ekor anjing ketika berada di luar rumah neneknya di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat pada kira-kira pukul 7 pagi, Sabtu lalu.
Serangan itu menyebabkan kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketika ini, keluarga memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau tuduhan yang boleh menambahkan beban mereka ketika Nur Haira Wafiqah masih menjalani rawatan di ICU.

