SERI KEMBANGAN, 28 Sept (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah di sini.
Anwar dan Dr Wan Azizah tiba di pekarangan masjid pada 4 petang dan kemudian menyantuni suami Allahyarham, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta ahli keluarga bagi menyampaikan ucapan takziah.
Perdana Menteri turut dilihat bersalaman dan berbual ringkas dengan Dr Mahathir.
Terdahulu, orang ramai, barisan kenamaan serta perwakilan asing hadir ke masjid berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Dr Siti Hasmah.
Anwar bersama ahli keluarga Allahyarham serta hadirin kemudian menunaikan solat Asar.
Jenazah Allahyarham dijadual dibawa ke Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya petang ini bagi istiadat pengebumian.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun.
– BERNAMA

